VTL Malaysia ke Thailand, Kemboja bermula 15 Mac 2022 | DagangNews Skip to main content

VTL Malaysia ke Thailand, Kemboja bermula 15 Mac 2022

KUALA LUMPUR 5 Mac - Malaysia akan memulakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara baharu ke Thailand dan Kemboja bermula 15 Mac 2022 dalam usaha membuka semula sempadan antarabangsa. 

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, individu yang sudah lengkap divaksin dibenarkan untuk menggunakan laluan itu dan pada masa sama tidak akan dikenakan kuarantin semasa ketibaan.

 

"Pembukaan VTL baharu ini dijangkan memacu pemulihan jaringan ekonomi terutama dalam sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat COVID-19," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

 

Ka Siong berkata, bagi laluan Kuala Lumpur-Bangkok, syarikat penerbangan kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga enam penerbangan sehari manakala laluan Kuala Lumpur-Phuket sebanyak empat penerbangan sehari.

 

Bagi laluan Kuala Lumpur-Phnom Penh, syarikat penerbangan kedua-dua negara dibenarkan beroperasi sehingga dua penerbangan sehari.

 

"Laluan baharu itu bagaimanapun boleh ditambah bedasarkan kepada permintaan pasaran," katanya.

 

kapal

 

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan yang berkaitan akan dikeluarkan oleh agensi masing-masing dalam masa terdekat dan pengembara diingatkan supaya mematuhi protokol kesihatan secara bertanggungjawab untuk menikmati kemudahan VTL itu.

 

Katanya, kerajaan akan meneruskan perbincangan dengan semua negara jiran ASEAN mengenai pembukaan semula laluan tambahan yang selamat pada masa hadapan mengikut situasi semasa. - DagangNews.com