Wakil parti pembangkang dijemput anggotai Majlis Pemulihan Negara | DagangNews Skip to main content

Wakil parti pembangkang dijemput anggotai Majlis Pemulihan Negara

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Mesyuarat pertama Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju untuk menjemput wakil-wakil dari parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, Warisan and Pejuang sebagai ahli MPN.

 

Menteri Kewangan yang merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, persetujuan itu dicapai selaras dengan pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berlandaskan prinsip kolaborasi, inklusif dan whole-of-nation.

 

Menurutnya, MPN juga bersetuju untuk menjemput wakil dari kerajaan Sabah dan Sarawak untuk menganggotai Majlis.

 

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut mengalu-alukan kesediaan dan penglibatan pakar-pakar dari pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing," jelas beliau.

 

Berikut adalah pakar-pakar dari pelbagai industri;

  • Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
  • Tan Sri Datuk Azman Mokhtar
  • Tan Sri Anthony Fernandes
  • Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman
  • Datuk Seri Wong Chun Wai
  • Datuk Michael Kang
  • Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim
  • Datuk Dr. Hartini Zainuddin
  • Dr. Sivakumar Thurairajasingam

 

 

"Keanggotaan wakil-wakil parti pembangkang, tokoh-tokoh dan pakar-pakar dari pelbagai sektor ini akan memantapkan lagi keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang bersifat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa.

 

"MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran ini dapat menyumbang kepada antara lainnya, pemerkasaan sektor kesihatan; peningkatan usaha vaksinasi; penyelarasan, pelaksanaan dan keberkesanan SOP, serta sokongan dan bantuan Kerajaan dalam tempoh pemulihan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mesyuarat pertama MPN hari ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

MPN dianggotai oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan (Menteri Penyelaras); Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Kanan Kerja Raya; Menteri Kanan Pendidikan; Menteri Kanan Luar Negeri; Menteri Kesihatan; Menteri Sains dan Teknologi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); Ketua Setiausaha Negara; Ketua Pengarah Kesihatan dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara.

 

Dalam kenyataan sama, Tengku Zafrul memberitahu, MPN juga akan menyampaikan maklumat mengenai aspek-aspek PPN kepada rakyat secara telus dan mudah difahami melalui portal rasmi PPN yang akan dilancarkan pada 26 Julai 2021. - DagangNews.com