Warga asing menetap di Malaysia bakal terima vaksin COVID-19 percuma | DagangNews Skip to main content

Warga asing menetap di Malaysia bakal terima vaksin COVID-19 percuma

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Jemaah Menteri bersetuju untuk membenarkan warga asing yang menetap di Malaysia untuk menerima suntikan vaksin secara percuma di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


 

Perkara itu didedahkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) dalam sebuah kenyataan. 

 

Jelas jawatankuasa itu pemberian vaksin secara percuma kepada golongan berkenaan dilakukan selepas mengambil kira beberapa faktor. 

 

“Selari dengan tema Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu 'Lindung Diri, Lindung Semua' serta menerusi pendekatan 'tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat’, pemberian vaksin secara percuma kepada golongan ini adalah selepas mengambil kira faktor-faktor berikut:

 

a. Persekitaran selamat serta bebas COVID-19 hanya boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk Malaysia diberikan vaksin.

 

b. Dalam tempoh pandemik, pemberian vaksin adalah langkah berperikemanusiaan.

 

c. Rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing (sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan.

 

d. Kos rawatan dan kuarantin pesakit COVID-19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kepada kluster pekerja asing.

 

e. Pekerja asing yang telah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.

 

f. Layanan oleh sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara tersebut,” jelasnya. 

 

Dalam pada itu, JKJAV berkata, keputusan itu juga akan memudahkan pemberian vaksin kepada bukan warganegara dan membantu menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

 

Namun, keutamaan pemberian vaksin ini kepada warganegara terlebih dahulu. Maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warga negara asing akan diumumkan kelak.

 

"Keputusan pemberian secara percuma ini juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin yang diperolehi adalah mencukupi serta melebihi jumlah warganegara yang layak menerimanya.

 

"Ia juga selari dengan pendirian kerajaan untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik COVID-19," tambah JKJAV  lanjut. - DagangNews.com