Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin
KUALA LUMPUR 17 Nov – Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah dan penyedia hibah terbesar di Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran perkhidmatan terbarunya, hibah akaun pelaburan Sistem Depositori Pusat atau CDS.
Melalui perkhidmatan ini, Wasiyyah Shoppe Berhad akan membantu para pelabur untuk menghibahkan akaun pelaburan CDS mereka kepada sesiapa yang mereka kehendaki mengikut formula agihan seperti yang mereka hajati.
Penerima hibah boleh terdiri dari pasangan, anak-anak, anak angkat, adik-beradik atau sesiapa pun tanpa mengira kategori perhubungannya dengan pemberi hibah.
Sekiranya penerima akaun pelaburan CDS ini di bawah umur 18 tahun atau tidak waras akal fikiran pula, pelabur mempunyai pilihan untuk melantik Wasiyyah Shoppe Berhad bagi menguruskan manfaat akaun pelaburan CDS tersebut bagi pihak penerima berkenaan mengikut formula yang ditetapkan oleh pelabur.
Melalui kaedah ini, pelabur juga boleh menginfakkan sebahagian dari manfaat akaun pelaburan CDSnya.
Sebagai syarikat amanah berlesen yang berpengalaman, Wasiyyah Shoppe Berhad mempunyai kapasiti undang-undang dan kemahiran untuk bertindak seperti apa yang diingini oleh pelabur CDS.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ariffin Sabirin berkata, Wasiyyah Shoppe mengambil masa selama hampir setahun bagi melalui proses pembangunan yang intensif bagi perkhidmatan ini.
Proses teliti ini dilalui bagi memastikan perkhidmatan ini bukan sahaja patuh hukum syarak dan undang-undang syariah Malaysia, malah penekanan turut diberikan supaya perkhidmatan ini selari dengan peruntukan akta yang berkaitan dengan akaun pelaburan CDS sekaligus memastikan ia berkuatkuasa mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.
“Permintaan untuk perkhidmatan ini memang telah kami terima daripada masyarakat namun kami mengambil langkah berhati-hati di dalam pembangunannya.
‘’Atas sifatnya yang sangat teknikal dari segi undang-undang, di dalam tempoh 12 bulan tempoh pembangunannya, kami telah menggunakan perkhidmatan khidmat nasihat dari pakar hukum syarak, pakar undang-undang syariah dan muamalat serta pakar undang-undang sivil di kalangan antara yang terbaik di Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Ariffin juga yakin pengenalan perkhidmatan ini akan mendapat sambutan baik dari kalangan pelabur beragama Islam kerana ia adalah perkhidmatan perancangan harta patuh syariah yang pertama bagi kelas aset ini di Malaysia.
“Wasiyyah Shoppe Berhad sentiasa terkehadapan di dalam meneroka kaedah perancangan harta patuh Syariah yang inovatif. Kami mengambil pendekatan menyelesaikan maslahat ummah melalui perkhidmatan kami dan pengenalan perkhidmatan hibah akaun pelaburan CDS ini adalah antara testimoni kepada usaha ini.
‘’Kami menyasarkan 2,000 orang pelanggan akan menggunakan perkhidmatan ini sehingga penghujung tahun 2022,” kata Ariffin.
Sebagai syarikat amanah patuh syariah yang bersifat butik, pengenalan perkhidmatan ini dijangka akan mengukuhkan lagi kedudukan Wasiyyah Shoppe Berhad sebagai peneraju di dalam industri perancangan harta secara Syariah di Malaysia. – DagangNews.com