Wasiyyah Shoppe lantik Datuk Dr Afifi Al-Akiti sebagai penasihat | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Shoppe lantik Datuk Dr Afifi Al-Akiti sebagai penasihat

ARIFFIN Sabirin (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Dr Afifi al-Akiti yang dilantik sebagai penasihat Wasiyyah Shoppe.

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah peneraju yang berkepakaran di dalam industri perancangan harta secara syariah dan pengurusan pusaka di Malaysia, mengumumkan pelantikan Datuk Dr Afifi al-Akiti sebagai penasihatnya berkuatkuasa 1 April 2020.

Datuk
 Dr Afifi yang juga dikenali sebagai Sheikh Afifi mencipta sejarah pada tahun 2008 menjadi ulama Melayu pertama yang dilantik mengajar di universiti termasyhur di dunia sebagai Felo Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford.  Semenjak tahun 2010 beliau diiktiraf di antara 500 orang Islam yang paling berpengaruh di dunia (The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims).

Beliau merupakan Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Negeri Perak Darul Ridzuan, yang juga menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja mengenai Hal Ehwal Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin menyatakan bahawa pelantikan ini adalah bagi tempoh 3 tahun dan ia selaras dengan strategi  syarikat untuk mengembangkan perkhidmatan ke peringkat antarabangsa di dalam jangka masa 3 tahun tersebut.

“Wasiyyah Shoppe Berhad kini mulai mengkaji secara serius potensi untuk kami mengembangkan perkhidmatan kami untuk umat Islam seluruh dunia memandangkan terdapat permintaan tinggi dari pasaran antarabangsa untuk perkhidmatan perancangan harta secara syariah yang dipelopori oleh Wasiyyah Shoppe Berhad terutamanya di peringkat negara-negara komanwel.

"Kami yakin penyertaan Datuk Dr Afifi sebagai penasihat mampu menyumbang secara signifikan kepada usaha ini 
memandangkan beliau mempunyai jaringan antarabangsa yang baik serta pengalaman dan pengetahuan yang tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Melalui strategi pengantarabangsaan ini, Wasiyyah Shoppe yakin mampu untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perancangan harta secara syariah global sekaligus menerajui usaha membantu umat Islam dalam aspek perancangan harta pada peringkat antarabangsa.

"
Usaha perancangan harta ini sudahpun dibuat oleh organisasi antarabangsa yang berpusat di United Kingdom dan Amerika Syarikat namun kesemua asas perkhidmatan mereka adalah bersifat konvensional. Wasiyyah Shoppe beraspirasi untuk mewujudkan platform perancangan harta secara syariah peringkat global yang pertama di dunia,” tambah Ariffin.

Wasiyyah Shoppe ialah penyedia dan pelaksana hibah terbesar di Malaysia dengan lebih dari 40,000 orang Islam telah menggunakakan perkhidmatan hibahnya manakala hampir 70,000 orang Islam telah mendapat manfaat dari 35 jenis perkhidmatan yang ditawarkan semenjak penubuhannya pada 2004. - DagangNews.com