Wasiyyah Shoppe peneraju segmen hibah harta bercagar | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Shoppe peneraju segmen hibah harta bercagar

KUALA LUMPUR 1 Julai – Wasiyyah Shoppe Berhad, syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia telah menyediakan lebih 5,000 dokumen hibah harta bercagar untuk pelanggannya di seluruh negara, sepanjang tahun kewangan 2020/21.

 

Jumlah ini menjadikan jumlah pelanggan keseluruhan perkhidmatan hibah harta bercagar terkumpulnya sejak pengenalan perkhidmatan ini pada 2015 adalah seramai  25,000 pelanggan iaitu 40% dari jumlah keseluruhan pelanggan yang membuat hibah dengannya sejak 2004.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin, perkhidmatan hibah harta bercagar merupakan perkhidmatan Wasiyyah Shoppe yang paling mendapat sambutan masyarakat sejak 6 tahun kebelakangan ini. 

 

“Walaupun Malaysia dilanda pandemik COVID-19 sejak Mac 2020, perkhidmatan hibah harta bercagar Wasiyyah Shoppe terus mendapat sambutan dengan peningkatan permintaan hampir 100% berbanding tahun kewangan 2019/20,” katanya dalam kenyataan di sini.

 

Tambah Ariffin, perkhidmatan hibah harta bercagar Wasiyyah Shoppe menjadi pilihan masyarakat kerana pengalaman dan kekuatan ilmiahnya yang menjamin dokumen itu  berkuatkuasa dari segi undang-undang dan seterusnya mencapai hasrat pelanggan.

 

“Banyak pihak berpandangan hibah harta bercagar ini tidak sah dari segi hukum. Walaupun Panel Syariah kami telah berijtihad pada 2015 hibah ini adalah sah, bagi mendapatkan lebih kejelasan, Wasiyyah Shoppe Berhad telah menjalankan penyelidikan ilmiah bersama UKM pada 2017 untuk mengkaji secara mendalam topik ini.

 

"Dapatan penyelidikan kami menunjukkan bahawa hibah harta bercagar adalah sah namun tertakluk kepada syarat-syarat tertentu seperti kewujudan perlindungan takaful atau keizinan pembiaya,” kata Ariffin.

 

 

ariffinsabirin
Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe, Ariffin Sabirin

 

 

Sebagai syarikat amanah patuh syariah berasaskan penyelidikan, Wasiyyah Shoppe Berhad mengaplikasi dapatan penyelidikan tersebut ke dalam perkhidmatannya pada 2017 sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor hibah harta bercagar di Malaysia.

 

Pandangan Wasiyyah Shoppe tentang keabsahan hibah harta bercagar diperkuatkan lagi apabila Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada Mei 2021 turut mewartakan bahawa hibah untuk harta bercagar adalah sah sekiranya terdapat perlindungan takaful atau mendapat keizinan pembiaya.

 

“Fatwa ini telah mengesahkan dapatan penyelidikan kami pada 2017 dan memudahkan lagi usaha kami bagi membantu umat Islam merancang hibah harta bercagar mereka," ujar Ariffin.  

 

Walau berdepan cabaran ekonomi era pandemik, Wasiyyah Shoppe optimis bagi tahun kewangan 2021/22, perkhidmatan hibah harta bercagarnya akan mampu mencapai sasaran 8,000 pelanggan. 

 

Wasiyyah Shoppe juga menawarkan pelan pembayaran ansuran kepada para pelanggannya bagi memudahkan mereka mendapatkan perkhidmatan ini. - DagangNews.com