Waspada panggilan palsu individu menyamar pegawai tribunal MCMC | DagangNews Skip to main content

Waspada panggilan palsu individu menyamar pegawai tribunal MCMC

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai daripada tribunal MCMC.

 

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, MCMC tidak mempunyai sebarang tribunal yang dinamakan dan beroperasi sebagai tribunal MCMC, dan tiada juga kakitangan daripada tribunal MCMC seperti yang didakwa. 

 

Katanya, sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai urusan berkaitan dengan MCMC lazimnya dilaksanakan mengikut saluran rasmi seperti laman web MCMC ataupun menerusi platform media sosial MCMC dan bukannya menggunakan nama individu, nombor telefon bimbit persendirian mahupun penggunaan bahasa yang meragukan.

 

"Sehubungan itu, MCMC menggesa orang awam untuk tidak terpedaya dengan panggilan sedemikian oleh pihak yang tidak dikenali," katanya.

 

Menurut MCMC, sekiranya menerima panggilan-panggilan mencurigakan, segera laporkan perkara tersebut kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 ataupun kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan susulan. - DagangNews.com