Westports, OCBC Bank pacu amalan kelestarian guna platform CSI Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Westports, OCBC Bank pacu amalan kelestarian guna platform CSI Bursa Malaysia

Memorandum kerjasama itu ditandatangani oleh (dari kiri) Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah; Datuk Muhamad Umar Swift dan Pengarah Urusan Jurubank Kanan & Ketua Perbankan Pelaburan OCBC Bank, Tan Ai Chin
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Okt - Westports Holdings Berhad (Westports) dan OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) telah menjadi pengguna terkini platform risikan kelestarian berpusat (CSI) Bursa Malaysia.

 

Bursa Malaysia berkata mereka telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC), yang menyasarkan untuk memperluaskan penggunaan platform terbabit dalam kalangan syarikat di Malaysia, khususnya dalam sektor pengangkutan dan logistik, menerusi ketelusan dan kesalingoperasian data alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Platform CSI, yang dibangunkan oleh Bursa Malaysia dengan kerjasama London Stock Exchange Group, akan berfungsi sebagai repositori untuk pendedahan kelestarian oleh syarikat Malaysia yang tersenarai, bersama-sama dengan pendedahan oleh pembekal tempatan dan antarabangsa di seluruh rantaian bekalan mereka, katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Selain itu, ia akan membolehkan syarikat mengira dan menjejaki kesan pelepasan karbon mereka, di samping memudahkan usaha pembiayaan hijau dan penyahkarbonan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata kehadiran global Westports meluas yang terhubung ke pelabuhan utama di seluruh dunia akan memberikan pandangan berguna tentang langkah ESG dalam operasi pelabuhan dan logistik, iaitu sektor utama bagi Malaysia sebagai negara perdagangan

 

“Sebagai pelabuhan kedua terbesar di Asia Tenggara, Westports memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global.

 

“Penyertaan Westports dalam EAP akan membolehkan syarikat itu mengkaji pelepasan karbon Skop 3 dalam rantaian bekalannya dan membolehkanmya memenuhi kewajipan penyahkarbonan kepada pelanggannya, sambil meningkatkan pengurusan dan prestasi data ESG untuk menarik peluang perniagaan baharu,” ujar beliau.

 

Bursa Malaysia berkata platform CSI tersebut akan membolehkan OCBC Bank meningkatkan rantaian bekalan ESG melalui penyediaan rumusan kewangan yang mampan, untuk memudahkan korporat mengurus dan mengurangkan pelepasan Skop 3 masing-masing.

 

Tambahnya, MoC itu menandakan kerjasama keempat Bursa Malaysia dan yang pertama dalam sektor pengangkutan dan logistik.

 

Ini adalah berikutan pemeteraian MoC sebelum ini kepada pengguna awal dari sektor minyak dan gas, automotif serta hartanah dan pembuatan ke dalam platform terbabit.  - DagangNews.com