Wira paralimpik terima tajaan pakej umrah, kembara ke Korea Selatan bernilai RM100,000 | DagangNews Skip to main content

Wira paralimpik terima tajaan pakej umrah, kembara ke Korea Selatan bernilai RM100,000

Ketua Pegawai Pemasaran ikhlas.com, Fara Hasan bersama wira Paralimpik Malaysia; Muhammad Ziyad Zolkefli, Datuk Abdul Latif Romly, Eddy Bernard, Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA T1), Sepang.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd menawarkan tajaan pakej umrah dan kembara Korea Selatan menerusi ikhlas.com bernilai hampir RM100,000 kepada kontinjen paralimpik negara yang membawa pulang pingat pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini. 

 

Ketua Pegawai Pemasaran ikhlas.com, Fara Hasan berkata, pihaknya berbesar hati dapat meraikan kejayaan mereka yang banyak berkorban masa dan tenaga demi mengharumkan nama negara di persada dunia. 

 

"Sebagai platform sehenti gaya hidup dan kembara mesra Muslim, ikhlas.com menaja atlet-atlet paralimpik yang membawa pulang pingat dan jurulatih mereka yang memainkan peranan penting dalam kejayaan ini.

 

“Kami mengumumkan tajaan pakej umrah ikhlas.com bagi atlet dan jurulatih paralimpik yang beragama Islam sementara yang bukan Islam pula akan menerima tajaan pakej kembara ke Korea Selatan bersama ikhlas.com Travel," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada 13 Ogos lalu, ikhlas.com membantu atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk membawa ibu bapa beliau menunaikan umrah walaupun gagal meraih kemenangan menerusi acara keirin lelaki di Sukan Olimpik 2024. 

 

Dilancarkan sewaktu pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform kembara dan gaya hidup Muslim direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. 

 

Selain ikhlas.com Umrah dan tawaran pelancongan halal dengan usahasama syarikat penerbangan subsidiari, AirAsia X, ikhlas.com turut memudahkan umat Islam melaksanakan ibadah Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah dan Qurban.- DagangNews.com