KUALA LUMPUR 12 Sept - Gentari menjenamakan semula WIRSOL Energy sebagai Gentari Solar Australia, susulan pengambilalihan penuh firma tersebut disempurnakan pada Februari 2023, bagi memulakan operasi.
Dalam satu kenyataan media hari ini, cabang rumusan tenaga bersih Petronas itu berkata jenama baharu tersebut mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju terkemuka dengan solar bersepadu dan sistem penyimpanan tenanga bateri (BESS) serta keupayaan pengurusan aset dalam pasaran tenaga boleh diperbaharui Australia.
Gentari Solar Australia kini mempunyai kapasiti terpasang kasar sebanyak 422MW (megawatt) dan kapasiti berpotensi dalam kontrak projek peringkat akhirnya berjumlah 765MW.
Gentari berkata syarikat terbabit akan diterajui Andrew Barson selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya dengan mandat untuk mengembangkan kapasiti solar syarikat dan keupayaan BESS di negara ini.
Antara projek yang diurus oleh Barson adalah Projek Penyimpanan Tenaga dan Solar Maryvale di New South Wales, dan Projek Penyimpanan Tenaga dan Solar Barnawartha di Victoria, di mana kedua-duanya dijangka mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) tidak lama lagi dengan kapasiti gabungan lebih 500MW.
“Dalam jangka masa terdekat, kami akan memanfaatkan aset Australia kami sebagai blok bangunan untuk memacu pertumbuhan dalam kapasiti solar skala utiliti dan keupayaan penyimpanan bateri, ke arah meningkatkan bahagian boleh diperbaharui dalam campuran penjanaan kuasa Australia.
“Bagi perancangan masa hadapan, Gentari juga akan meneroka teknologi tenaga bersih lain termasuk kuasa angin di Australia,” ulas Ketua Pegawai Boleh Diperbaharui Gentari, Low Kian Min.
Operasi semasa Gentari di Australia menambah 422MW kapasiti pemasangan kasar kepada keseluruhan portfolio tenaga boleh diperbaharui syarikat tersebut, selain kapasiti lebih 1GW (gigawatt) di Malaysia dan India.
Dalam jangka panjang, pertumbuhan terancang Gentari di Australia, disasarkan untuk menyumbang lebih daripada 5GW ke arah mencapai sasaran 2030 iaitu 30 hingga 40GW di seluruh dunia, akan didorong terutamanya oleh aset operasi solar dan angin.
“Memandangkan kematangan pasaran Australia dan potensi kukuh, beserta grid akses terbuka yang menawarkan peluang untuk kepelbagaian, disokong oleh dasar kerajaan dan ekosistem teguh pembiayaan, kami sedang meninjau peluang untuk mengoptimumkan sumber tenaga solar kami sambil meneroka penjanaan angin dan teknologi lain bagi membekalkan tenaga hijau untuk pengeluaran hidrogen pada masa hadapan.
“Selain itu, kami juga berminat untuk membangunkan keupayaan komersial dan memantau peluang dalam mobiliti hijau di negara ini,” tambah Kian Min. - DagangNews.com