X50 permulaan strategi pertumbuhan eksport Proton | DagangNews Skip to main content

X50 permulaan strategi pertumbuhan eksport Proton

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B, X50 bakal menjadi ‘sinar baharu’ strategi pertumbuhan eksport Proton ke negara luar terutamanya di rantau Asia Tenggara. 

“Kami menjangkakan X50 akan menjadi pemacu pertumbuhan baharu buat pengeluar kereta nasional itu, memandangkan jenama berkenaan menawarkan pendedahan pasaran baharu iaitu SUV segmen B.

“Dalam masa sama, kami menjangkakan X50 bakal memulakan strategi pertumbuhan eskport Proton seiring rancangan kumpulan itu untuk mengeksportnya ke pasaran Thailand,” kata CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya. 

Semalam, Proton melancarkan X50 menerusi saluran media sosialnya di mana kenderaan itu merupakan pengeluaran kedua di bawah kerjasama Proton dan Geely selepas Proton X70. 

Baca : Proton X50 dijual pada harga bermula RM79,200

30,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan sebelum dan pada 31 Disember 2020 juga akan berpeluang menerima caj buruh percuma untuk lima kali servis.

Semua pelanggan juga ditawarkan dengan pelbagai faedah sekiranya mereka mendapat insurans Proton X50 mereka melalui Pakej Perlindungan Insurans Premium Proton.

Sejak pendaftaran telah dibuka pada 16 September lalu, Proton telah menerima lebih 23,000 tempahan bagi X50 di mana 70% merupakan varian Flagship dan Premium.

“Hasil semakan kami mendapati pengeluaran Proton tidak terjejas akibat kes positif COVID-19 yang dilaporkan di jabatan kejuruteraannya di Shah Alam baru-baru ini. 

“Kami difahamkan Proton giat merancakkan pengeluarannya dan ketika ini sedang menghasilkan kira-kira 4,000 dan 3,000 keluaran X50 dan X70 setiap bulan di Tanjung Malim,” tambah CGS-CIMB.  -  DagangNews.com