Yakin dengan prospek pengembangan Guan Chong, AmInvestment kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Yakin dengan prospek pengembangan Guan Chong, AmInvestment kekal saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Jan - AmInvestment Bank Research mengulangi saranan 'beli' terhadap Guan Chong Bhd. dengan nilai saksama (FV) disemak lebih tinggi pada RM3.40 berbanding RM3.21 sebelum ini berikutan langkah pengembangan kumpulan yang dilihat positif. 

 

Malah, firma itu turut menyemak semula pendapatan bagi tahun kewangan 2021 (FY21), FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 16%, 3% dan 1%. 

 

"Kami menyukai Guan Chong kerana prospek pengembangan luar negaranya, memberi peluang kepada kumpulan untuk memasuki pasaran Eropah, yang merupakan pasaran terbesar dari segi penggunaan coklat," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

Menurutnya, pelan pengembangan Guan Chong di peringkat antarabangsa dilihat sedang berjalan dengan baik, yang mana kemudahan pengisaran di Ivory Coast berada dalam landasan untuk memulakan operasi pada separuh pertama 2022. 

 

Katanya, dengan kapasiti 60,000 tan metrik pada fasa pertama, kemudahan itu dijangka menyumbang tambahan sebanyak RM70 juta kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) setahun. 

 

"Kapasiti fasa awal akan diambil alih terutamanya oleh kilang Jermannya, Schokinag Holdings (Schokinag), justeru, kami meramalkan tiada isu untuk meningkatkan pengeluaran dalam jangka masa terdekat," jelasnya. 

 

Malah, Guan Chong turut memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) tambahan sebanyak 10.5 juta euro pada separuh pertama 2022 untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran coklat di kilangnya di Jerman sebanyak 10,000 tan setahun (kapasiti semasa : 90,000 tan metrik setahun).

 

Kumpulan turut menambah bilangan mesin bagi menyelesaikan kesesakan dalam barisan pengeluarannya ketika ini.

 

AmInvestment berkata, sejajar dengan pemulihan sektor pelancongan dan perhotelan, permintaan bagi segmen coklat mewah dijangka meningkat secara beransur-ansur dan ia menjadi petanda baik kepada harga jualan purata (ASP) mentega koko. 

 

Pada 2021, nisbah mentega koko kumpulan menyaksikan penurunan apabila jualan coklat premium yang bergantung pada pelancongan terjejas akibat penutupan sempadan dan sekatan pergerakan. 

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan Guan Chong akan merekodkan pendapatan kukuh pada 2022 didorong hasil EBITDA yang dinormalisasi, permintaan mentega koko yang kembali pulih dan sumbangan pendapatan daripada kilang di Ivory Coast. 

 

Setakat 10.32 pagi ini, saham Guan Chong susut 4 sen atau 1.43% kepada RM2.76 dengan 39,800 saham diniagakan. - DagangNews.com