KUALA LUMPUR 20 Dis - Yayasan Aeon Malaysia (MAF) menerusi kempen Aeon Mesra tahun ini berjaya menyantuni lebih 2,000 kanak-kanak dengan jumlah sumbangan melebihi RM350,000 dalam bentuk barangan keperluan perayaan kepada keluarga memerlukan dan juga rumah-rumah kebajikan seluruh negara.
Sempena perayaan Krismas tahun ini, Aeon Mesra Krismas menyumbang sehingga RM55,000 yang melibatkan 300 kanak-kanak dan rumah kebajikan.
Program ini bermula pada 10 Disember 2022, dengan penyertaan daripada tiga pasar raya Aeon dan dua cawangan Aeon BiG di Sarawak, Melaka, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.
Acara kemuncak program ini diadakan di Aeon Mall Tebrau City, Johor Bahru pada 17 Disember yang mana seramai 100 kanak-kanak dari rumah kebajikan dibawa membeli belah untuk persiapan dan hadiah perayaan yang bakal menjelma.
MAF bekerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rumah kebajikan seperti Yayasan Kebajikan Suria, Pusat Kebajikan Kalvari dan Pertubuhan Kebajikan Penyayang Permata Hati.
Selain dari jawatankuasa MAF dan pihak pengurusan Aeon CO, aktiviti ini turut dibantu oleh sukarelawan dari Kumpulan Syarikat Aeon di Malaysia.
Menurut Presiden MAF, Datin Noryahwati Mohd Noh, menjadi harapan agar bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberikan keriangan dan harapan kepada mereka.
“MAF sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan komuniti dalam ekosistem kami.
"Kami akan sentiasa berusaha untuk memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada inisiatif dan gerakan bermanfaat kepada rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kempen Aeon Mesra dilaksanakan oleh MAF sejak tahun 2005 bertujuan membantu meringankan beban keluarga memerlukan khasnya untuk persiapan musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali dan Krismas.
Program Aeom Mesra adalah selaras dengan usaha MAF untuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) SDG 16.
Ia menggalakkan masyarakat yang aman dan inklusif untuk pembangunan mampan, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua dan membina berkesan, bertanggungjawab serta inklusif di semua peringkat. - DagangNews.com