Yayasan ASEAN, Google.org lancar platform e-pembelajaran perkasa literasi digital masyarakat | DagangNews Skip to main content

Yayasan ASEAN, Google.org lancar platform e-pembelajaran perkasa literasi digital masyarakat

Pelancaran platform literasi digital e-pembelajaran DigitalClassASEAN.org bersempena Forum Impak DLP ASEAN di Bali, Indonesia pada 14 November 2023
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Yayasan ASEAN dan Google.org, menerusi Program Literasi Digital (DLP) ASEAN telah memperkenalkan platform e-pembelajaran, DigitalClassASEAN.org, sebahagian daripada komitmen mereka terhadap kemajuan literasi digital merentas rantau ini.

 

Dilancarkan pada Forum Impak hari ini, platform tersebut memberi tumpuan kepada keterangkuman dan ketercapaian, menyediakan peralatan penting untuk menyokong individu kurang upaya dalam perjalanan pembelajaran mereka.

 

Menurut satu kenyataan bersama hari ini, platform DigitalClassASEAN.org mempunyai lima modul tunjang meliputi aspek penting literasi digital.

 

 

Peserta Forum Impak DLP ASEAN di Bali meraikan pencapaian program dua tahun seluruh ASEAN
Peserta Forum Impak DLP ASEAN di Bali meraikan pencapaian program dua tahun seluruh ASEAN

 

 

Ini merangkumi kewarganegaraan digital; media dan literasi maklumat; menangani maklumat salah dan palsu; mempromosi kelakuan positif atas talian; serta juga mengendali tajuk khusus seperti etika media sosial, pengasuhan digital, dan halangan penipuan atas talian.

 

“Modul-modul ini dibangunkan melalui usaha sama antara Yayasan ASEAN dan Break the Fake Movement, satu organisasi semakan fakta bertapak di Filipina.

 

“Mereka tersedia dengan lapan bahasa tempatan ASEAN: bahasa-bahasa Malaysia, Indonesia, Khmer, Tagalog, Thai, Lao, Burma, dan Vietnam,” katanya sambil menambah sijil pencapaian akan diterima pelajar yang melengkapi semua modul.

 

Usaha Yayasan ASEAN dan Google.org memacu literasi digital di rantau ini terus diperkasakan dengan anjuran Forum Impak di Bali dari 14 hingga 16 November 2023 pada Minggu Media Global dan Literasi Maklumat bertema ‘Mengharungi Kebingkasan Digital: Memperkukuhkan Masyarakat ASEAN melalui Literasi Digital’.

 

 

Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datuk Nur Izzah Wong Mee Choo (tengah) menyerahkan tanda penghargaan kepada rakan kerjasama tempatan DLP ASEAN dari Malaysia
Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Datuk Nur Izzah Wong Mee Choo (tengah) menyerahkan tanda penghargaan kepada rakan kerjasama tempatan DLP ASEAN dari Malaysia

 

 

Pengarah Eksekutif Yayasan ASEAN, Dr Piti Srisangnam berkata pencapaian program DLP ASEAN ialah pencapaian bersama melibatkan penyertaan aktif dan dedikasi semua pemegang amanah.

 

“Setelah berkongsi satu tujuan untuk mencipta ruang digital yang lebih selamat telah membawa kami selangkah lebih dekat dengan visi membangunkan keterangkuman digital Asia Tenggara,” katanya.

 

Di Malaysia, program ini telah melatih 130 Pelatih Pakar dan 4,740 peserta, bekerja dengan Asia Centre Malaysia sebagai rakan pelaksanaan tempatan untuk meningkatkan kesedaran signifikan dan penyertaan aktif antara warganegara Malaysia dalam menangani maklumat salah dan palsu.

 

Misi DLP ASEAN menangani maklumat salah dan palsu melalui literasi digital adalah selari dengan tema UNESCO untuk Minggu Media Global dan Literasi Maklumat, ‘Literasi Media dan Maklumat dalam Ruang Digital: Satu Agenda Global Bersama’.  - DagangNews.com