Yayasan TM, Yayasan Diraja Sultan Mizan bekerjasama perkasa golongan B40 dalam ruang pasaran digital | DagangNews Skip to main content

Yayasan TM, Yayasan Diraja Sultan Mizan bekerjasama perkasa golongan B40 dalam ruang pasaran digital

Datuk Zainal Abidin Putih (dua dari kiri) menerima momento penghargaan daripada Naib Cancelor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar (dua dari kanan) semasa majlis menandatangani kerjasama antara Yayasan TM, Yayasan Diraja Sultan Mizan.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - Yayasan TM dan Yayasan Diraja Sultan Mizan memeterai perjanjian kerjasama bagi memperkasa golongan belia golongan B40 dengan kemahiran keusahawan digital bagi memastikan mereka berdaya saing dalam ruang pasaran digital.

 

Kerjasama itu juga turut melibatkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

 

Program yang melibatkan kos kira-kira RM400,000 tersebut dikongsi antara Yayasan TM, Yayasan Diraja Sultan Mizan dan Universiti Multimedia (MMU). 

 

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman itu kehadiran Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah, Sultan Mizan Zainal Abidin.

 

Pengerusi Yayasan TM, Datuk Zainal Abidin Putih berkata, penglibatan peserta dalam Program Siswazah Usahawan Digital Terengganu (SISDIT) membolehkan mereka memperoleh kemahiran dan pengetahuan mengenai keusahawanan secara holistik dan mendapat kelayakan digital yang diiktiraf di peringkat global, Pensijilan Pemasaran Digital International Computer Driving Licence (ICDL) untuk melengkapkan kemahiran sedia ada.

 

yayasan

 

"Ini sememangnya akan memberi manfaat besar apabila mereka memasuki pasaran pekerjaan. 

 

"Yayasan TM kekal komited dalam usahanya untuk menyokong agenda pembangunan negara dengan mempromosikan pembangunan sosioekonomi dalam kalangan golongan yang kurang menerima perkhidmatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, Yayasan TM melaksanakan Program SISDIT yang menawarkan latihan keusahawanan digital kepada 27 orang pelajar terpilih daripada UniSZA dan UMT. 

 

Latihan intensif selama 20 hari itu telah dijalankan di MMU kampus Cyberjaya, memanfaatkan kepakaran MMU Cynergy, yang merupakan anak syarikat milik penuh MMU. 

 

Modul-modul latihan termasuklah pembangunan kandungan digital, pemikiran reka bentuk, etika perniagaan, e-dagang dan kanvas model perniagaan, bagi menyerlahkan lagi potensi para peserta dalam bidang keusahawanan digital.

 

Zainal Abidin berkata, pihak yang terlibat dalam kerjasama itu dalam membantu peserta untuk berjaya di dalam usaha keusahawanan dengan menghubungkan mereka kepada pelbagai peluang bagi mengembangkan perniagaan digital. 

 

"Kami berharap kejayaan mereka melalui program ini akan menggalakkan rakan-rakan belia seusia mereka untuk mengambil peluang dan menyerlahkan potensi sepenuhnya untuk masa hadapan yang lebih mampan,” katanya. - DagangNews.com