YES Prihatin sedia pelan percuma setahun untuk B40  | DagangNews Skip to main content

YES Prihatin sedia pelan percuma setahun untuk B40 

 

 

KUALA LUMPUR 5 Mei - YTL Communications Sdn. Bhd. akan membekalkan telefon dan data percuma untuk keluarga dan individu daripada golongan B40 selama setahun menerusi 2 pelan di bawah YES Prihatin.

 

Bagi pelan YES Prihatin Belajar Dari Rumah Keluarga, ia menyediakan 30GB data percuma bagi setiap bulan  manakala 15GB data percuma pula untuk YES Prihatin Belajar Dari Rumah Individu.

 

Pengarah Urusan YTL Communications, Datuk Yeoh Seok Hong berkata, kerjasama dengan kerajaan ini membolehkan pihaknya untuk melipatgandakan impak program telefon dan data percuma Learn From Home untuk golongan B40 yang telah dilaksanakan bersama Yayasan YTL sejak bermulanya pandemik COVID-19. 

 

"Matlamat kami bukan sahaja untuk penyelesaian jangka pendek, bahkan juga impak jangka masa panjang yang berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

YES Prihatin

 

Dengan subsidi Jaringan Prihatin, kedua-dua pelan tersebut menyediakan telefon, data dan akses kandungan Learn-From-Home Yayasan YTL secara percuma, kesemuanya bagi tempoh setahun tanpa sebarang deposit, kontrak mahupun bayaran.  

 

Para pelanggan juga akan menerima baucar Shopee bernilai RM50 untuk pembelian barangan. Kedua-dua pelan tersebut kini boleh didapati di www.yes.my/kasiupB40 dan aplikasi MyYes. 

 

Pengumuman daripada YES adalah susulan pelancaran program Jaringan Prihatin hari ini yang menawarkan subsidi tahunan bernilai RM300 dan RM180 untuk keluarga dan individu yang didaftar di bawah golongan B40, bagi membantu mereka memiliki peranti dan data yang diperlukan. 

 

Kandungan program Learn from Home Yayasan YTL merangkumi 1,271 pelajaran untuk 4 subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains yang mana kesemuanya dibangunkan berpandukan kurikulum kebangsaan dari Tahun 1 hingga ke Tingkatan 5. 

 

Kesemua pelajaran Learn From Home juga boleh didapati di laman sesawang Yayasan YTL dan aplikasi FrogPlay Mobile App. 

 

Aplikasi tersebut juga mengandungi lebih 13,000 kuiz meliputi semua subjek teras, menjadikan proses pelajaran dan ulang kaji lebih mudah buat para pelajar yang memiliki telefon pintar. 

 

Sejak program Learn From Home dilancarkan pada 2020, Yayasan YTL dengan kerjasama YES dan FrogAsia telah mengagihkan lebih 18 juta GB data percuma, 450,000 kad SIM percuma dan 100,000 telefon percuma untuk mereka yang memerlukannya. - DagangNews.com