Yinson GreenTech bekal 143 van elektrik pintar kepada Pos Malaysia sokong operasi penghantaran lestari | DagangNews Skip to main content

Yinson GreenTech bekal 143 van elektrik pintar kepada Pos Malaysia sokong operasi penghantaran lestari

(Dari kiri) Ketua Pegawai Kewangan YGT, Chan Wan Yin; Pengarah Urusan drivevEV, Kelvin Soon; Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaan YGT, Srinivas Tati; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer; Ketua Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Pos Malaysia, Fiona Liao dan Ketua Kelestarian Pos Malaysia, Jarod Ho.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Okt - Penyedia rumusan teknologi hijau, Yinson GreenTech (YGT) telah membekalkan 143 van elektrik pintar komersial (e-van) kepada Pos Malaysia Berhad, selaras dengan visi matlamat kelestarian penyedia pos negara itu.

 

Melalui perniagaan pemajakan kenderaan elektrik (EV) drivEV, YGT akan membekalkan e-van CAM EC35 yang disepadukan dengan perisian telematik EV pintar Pos Malaysia untuk penghantaran bersih dan hijau.

 

YGT juga akan melengkapkan depoh Pos Malaysia di seluruh negara dengan stesen pengecasan dan menyelia perkhidmatan sokongan teknikal dan penyelenggaraan untuk kenderaan dan pengecas EV yang dipajak.

 

Menurut satu kenyataan media hari ini, rumusan pemajakan EV yang menyeluruh ini dipercayai pertama seumpamanya ditawarkan di negara ini.

 

Perisian telematik EV pintar menggunakan teknologi berasaskan awan terkini untuk menyediakan data dan analitik hampir masa nyata bagi pengurusan kenderan dengan ciri-ciri termasuk pemantauan jarak jauh dan pengoptimuman tahap pengecasan, penggunaan bateri dan kecekapan pemanduan setiap e-van.

 

Selanjutnya, YGT telah memberikan MAXUS eDeliver 3 dan FOTON iBLUE EV untuk tujuan bukti konsep (POC) dalam e-van CAN EC35 yang diberikan kepada Pos Laju bagi tempoh percubaan tiga bulan sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk mengelektrik kenderaan ICE last-mile menjelang 2030.

 

Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaan YGT, Srinivas Tati berkata kerjasama terbabit menyumbang kepada matlamat kelestarian Pos Malaysia mengurangkan separuh pelepasan Skop 1 dan 2 menjelang 2030.

 

“Bermula dengan pelancaran stesen pengecas chargEV di cawangan Pos Malaysia awal tahun ini, kami kini menyokong pengelektrikan pantas kenderaan empat roda mereka. Kami berharap ini akan membuka jalan kepada lebih banyak syarikat korporat untuk merealisasikan komitmen penyahkarbonan mereka sendiri,” ujar beliau.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata selain menghijaukan operasi kenderaan syarikat, kerjasama itu mengukuhkan dedikasinya untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan mencapai matlamat kelestarian.

 

“Inisiatif ini adalah salah satu daripada enam inisiatif kelestarian dan menyokong komitmen kami untuk menjadi sifar bersih menjelang 2050, serta mencerminkan tujuan kami supaya bersemangat membina kepercayaan bagi menghubungkan kehidupan dan perniagaan untuk masa depan lebih baik. Kami menyasarkan untuk menukar sepenuhnya kenderaan terakhir kami daripada ICE kepada elektrik menjelang 2030,” katanya.

 

Menurut Charles, Pos Malaysia komited untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 di bahawa Pelan Hala Tuju Kelestarian Pos Malaysia bagi mengurangkan pelepasan, meningkatkan kecekapan tenaga dan menerima teknologi lebih bersih, yang meletakkan syarikat itu sebagai satu-satunya penyedia logistik di Malaysia.   - DagangNews.com