Yinson, MFF jalin kerjasama teroka projek rumusan berasaskan alam sekitar di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Yinson, MFF jalin kerjasama teroka projek rumusan berasaskan alam sekitar di Malaysia

Ketua Kelestarian Korporat Yinson, Dr Renard Siew (kiri); Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson, Lim Chern Yuan (dua dari kiri); Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Datuk Jeffri Abd Rasid (dua dari kiri) dan Pengarah Kanan MFF, Suhaini Haron (kiri) semasa majlis memeterai kerjasama antara kedua-dua pihak di ibu negara, baru-baru ini.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Jun - Yinson Holdings Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysia Forest Fund (MFF) bagi meneroka projek rumusan berasaskan alam sekitar (NbS) di Malaysia.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu bertujuan menghubungkan pemilik tanah, pemaju dan pelabur untuk meningkatkan inisiatif pembangunan mampan.

 

Katanya, kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada projek NbS bagi menggalakkan pembangunan ekonomi mampan dan pengurusan tanah di Malaysia, termasuk pemuliharaan tanah tropika, pengurusan biodiversiti, pengimbangan alam sekitar dan pembangunan sosial.

 

"NbS melibatkan aktiviti seperti pemuliharaan dan pemulihan ekosistem untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. 

 

"Pendekatan ini menawarkan kaedah segera dan berskala untuk mengurangkan pelepasan sambil menyediakan faedah masyarakat seperti pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, keselamatan makanan dan air, daya tahan bencana, dan pemuliharaan biodiversity," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson, Lim Chern Yuan berkata, sebagai peneraju dalam ruang kemampanan, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai visi sama bagi membuka peluang dalam pasaran NbS Malaysia.

 

Beliau berkata, pihaknya mahu mencipta nilai perniagaan mampan sambil menjaga dan meremajakan persekitaran semula jadi.

 

"Kerjasama kami dengan MFF membuka jalan bagi NbS inovatif yang bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau tetapi juga memupuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Datuk Jeffri Abd Rasid berkata, pihaknya berusaha meningkatkan penglibatan sektor swasta dalam inisiatif hutan lestari dan kerjasama itu menandakan peristiwa penting bagi usaha berkenaan.

 

Beliau berkata, MoU itu bertepatan dengan pelancaran Sijil Pemuliharaan Hutan yang dibangunkan untuk memberi insentif kepada entiti sektor swasta yang menyumbang kepada inisiatif hutan.

 

"Yinson akan menjadi antara syarikat perintis untuk merealisasikan aspirasi perkongsian awam-swasta ini dan bekerjasama dengan kami untuk mempamerkan model kerjasama yang berjaya.

 

"Bersama-sama, kami boleh berusaha ke arah perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan mampan hutan Malaysia, membawa harapan untuk masa depan di mana ekosistem semula jadi kita dipelihara dan dipertingkatkan untuk generasi akan datang," katanya. - DagangNews.com