Yinson, Rubberex berisiko 'tercampak' daripada saham patuh syariah | DagangNews Skip to main content

Yinson, Rubberex berisiko 'tercampak' daripada saham patuh syariah

 

 

 

KUALA LUMPUR 16 Nov - Yinson Holdings Bhd. dan Rubberex Corporation (M) Bhd. berisiko terkeluar daripada senarai saham patuh syariah jika gagal memenuhi paras ambang bagi nisbah tunai dan hutang, menurut RHB Investment Bank Bhd.

 

Ini kerana keperluan patuh syariah menyatakan bahawa nisbah hutang dan tunai, yang bertujuan untuk mengukur riba dan elemen berasaskan riba dalam kedudukan kewangan syarikat - mestilah di bawah 33% daripada jumlah aset.

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Alexander Chia berkata, selepas menjalankan analisis terhadap metrik kewangan bagi saham patuh syariah di bawah liputannya, didapati Yinson dan Rubberex, gagal memenuhi keperluan nisbah kewangan berkenaan. 

 

"Pertanyaan yang dibuat kepada pengurusan masing-masing tidak menunjukkan bahawa terdapat komponen penting tunai atau hutang patuh syariah untuk mengurangkan risiko ini," katanya hari ini seperti dilapor Bernama

 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dijangka menerbitkan senarai sekuriti patuh syariah yang baharu pada 26 November ini. 

 

Dalam pada itu, Chia mendapati 3 saham mampu diklasifikasikan sebagai patuh syariah iaitu Tan Chong Motor Holdings Bhd (TCM), Tasco Bhd dan NTPM Holdings Bhd.

 

"Kini, nisbah hutang TCM dan Tasco telah jatuh di bawah paras ambang yang dibenarkan. 

 

"Walaupun paras hutang nominal NTPM melebihi 33%, tetapi kami memahami ini termasuk komponen hutang islamik, dan pelucutan ini membawa nisbah hutangnya di bawah 33% daripada jumlah aset,” jelasnya. - DagangNews.com