Yinson tandatangani perjanjian FPSO di Angola bernilai RM956 juta  | DagangNews Skip to main content

Yinson tandatangani perjanjian FPSO di Angola bernilai RM956 juta 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Dis - Yinson Production (YP) melalui anak syarikat milik penuhnya, Yinson Azalea Production Pte. Ltd., telah memeterai perjanjian untuk aktiviti awal (APA) dengan Azule Energy  melalui anak syarikat milik penuhnya Eni Angola S.p.A., untuk memulakan semua aktiviti awal untuk penyediaan, operasi dan penyelenggaraan aset terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) untuk projek pembangunan Hab Barat Bersepadu Agogo di Angola.

 

Menurut Yinson, perjanjian itu menggariskan kepentingan kedua-dua pihak dalam memulakan kerja awal untuk memenuhi jadual projek, di samping memuktamadkan kontrak untuk projek itu.

 

"Tempoh APA ialah selama 60 hari dengan anggaran nilai agregat sebanyak AS$218 juta (kira-kira RM956 juta)," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Eni Angola S.p.A. dimiliki oleh Azule Energy, usaha sama bebas 50/50 baharu oleh BP p.l.c. dan Eni S.p.A.

 

Azule Energy ialah pengeluar ekuiti bebas terbesar minyak dan gas di Angola, memegang 2 bilion tong bersamaan sumber bersih dan berkembang kepada kira-kira 250,000 tong bersamaan sehari (boe/d) ekuiti pengeluaran minyak dan gas dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Yinson menjangkakan perjanjian itu tidak memberi kesan kepada modal saham dan struktur pemegangan syarikat.

 

"Bagaimanapun, APA dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan aset bersih sesaham Yinson Group," katanya. - DagangNews.com