Yinson terima kontrak FPSO bernilai AS$5.2 bilion daripada Petróleo Brasileiro | DagangNews Skip to main content

Yinson terima kontrak FPSO bernilai AS$5.2 bilion daripada Petróleo Brasileiro

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 15 Nov - Yinson Holdings Bhd mengumumkan telah memperoleh kontrak bernilai dianggarkan AS$5.2 bilion (RM21.65 bilion) di Brazil. 

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Yinson berkata ia telah dianugerahkan dua Surat Niat (LOI) oleh Petróleo Brasileiro SA bagi sewaan, operasi dan penyelenggaraan Integrado Parque das Baleias (IPB FPSO), sebuah kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO)  di Lembangan Campos Utara, luar pesisir Brazil.

 

Ia berkata LOI telah dikeluarkan kepada unit milik penuh tidak langsungnya Yinson Production Pte Ltd Berikutan LOI, Yinson Bergenia Production BV, anak syarikat tidak langsung Yinson yang diperbadankan Belanda akan menandatangani kontrak piagam untuk penyediaan FPSO, manakala anak syarikat Brazil diperbadankan milik penuh Yinson Bergenia Serviços de Operação Ltda akan menandatangani kontrak untuk operasi dan penyelenggaraan aset tersebut. 

 

Yinson berkata tempoh kontrak adalah selama 22.5 tahun dari tarikh penerimaan muktamad.

 

"IPB FPSO akan menjadi kapal kedua Yinson yang beroperasi di perairan Brazil, dengan yang pertama ialah FPSO Anna Nery, yang telah dianugerahkan kepada Yinson oleh Petrobras pada Oktober 2019," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Tambah Yinson, FPSO Anna Nery kini sedang dalam pembinaan di Cosco Changxing, China, dan dijangka beroperasi pada 2023 di padang Marlim, yang terletak di bahagian Timur Laut Lembangan Campos. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson Lim Chern Yuan berkata Yinson berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil alih projek IPB FPSO, kerana ia telah berjaya mengukuhkan sumber, kapasiti dan kepakarannya di Brazil sejak beberapa tahun lalu. 

 

“Brazil adalah wilayah yang paling penting kepada Yinson dan kami komited untuk memberikan yang terbaik untuk menyumbang kepada kemajuan industri tenaga negara.

 

"Kami gembira usaha yang kami lakukan untuk membina kehadiran kami di Brazil telah mewujudkan sinergi yang akan membolehkan projek kami yang berpangkalan di Brazil mencapai kecekapan yang lebih besar, mewujudkan nilai yang lebih besar untuk semua pemegang kepentingan kami,” kata Lim.

 

Sementara itu. Ketua Pegawai Eksekutif Luar Pesisir Yinson Production, Flemming Grønnegaard berkata pasukan itu telah memperoleh kemahiran dan pengalaman berharga melalui aktiviti sedia ada di Brazil dan juga setakat ini mampu menyesuaikan diri dan berinovasi untuk mengatasi pelbagai cabaran yang dibawa oleh pandemik dan situasi ekonomi global yang tidak menentu.  -DagangNews.com