KUALA LUMPUR 26 Julai - BTM Resources Bhd mengumumkan bahawa Yong Hin Siong meletak jawatan sebagai pengarah eksekutifnya berkuat kuasa pada 25 Julai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pembalakan yang dalam kerugian itu menyatakan bahawa "peletakan jawatan secara sukarela" menjadi sebab Yong keluar daripada syarikat itu.
Yong, 43, yang memegang 0.21% kepentingan dalam BTM, dilantik untuk memegang jawatan itu pada Mei 2014.
Beliau adalah anak kepada pengarah urusan BTM, Datuk Seri Yong Tu Sang dan pemegang saham utama BTM, To' Puan Ng Ah Heng.
Beliau juga merupakan abang kepada pengarah bukan eksekutif BTM, Yong Emmy, yang tidak lagi menjadi pemegang saham besar dalam syarikat itu baru-baru ini, selepas mengurangkan pegangannya dalam syarikat itu kepada 4.48% melalui pelupusan 0.96% kepentingan.
BTM menamakan Tan Boon Pock sebagai pengarah eksekutif kumpulan itu pada 18 Julai. - DagangNews.com