Zelan terperosok ke status PN17 selepas juruaudit luar menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan kumpulan | DagangNews Skip to main content

Zelan terperosok ke status PN17 selepas juruaudit luar menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan kumpulan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mei - Zelan Berhad dikategorikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) selepas juruaudit luarnya, Nexia SSY PLT menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22).

 

Syarikat kejuruteraan pembinaan itu mempunyai 12 bulan untuk menstruktur semula keadaan kewangannya, jika gagal urusan dagangan sekuritinya boleh digantung selain boleh dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.

 

"Syarikat itu sedang mengambil langkah yang perlu untuk menyelesaikan status PN17.

 

"Syarikat itu sedang merangka pelan untuk menyelaraskan keadaan kewangannya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu bersetuju untuk melantik Nexia sebagai juruaudit luarnya pada Disember tahun lepas, berikutan peletakan jawatan juruaudit terdahulu Tetuan Afrizan Tarmili Khairul Azhar PLT (AFTAAS).

 

Sebelum ini dilaporkan bahawa AFTAAS telah dikenakan tidakan oleh Lembaga Pemantauan Audit Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atas beberapa pelanggaran yang melibatkan ketidakpatuhan piawaian audit.

 

Menurut laporan tahunan terbaru Zelan yang difailkan pada 30 April 2023, Nexia berkata, unit syarikat Zelan Holdings (M) Berhad menunjukkan baki belum terima bersih berjumlah RM241.76 juta setakat akhir Disember 2022.

 

Baki itu adalah berkaitan projek kumpulan di Abu Dhabi serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan diperoleh daripada jumlah kasar RM322.2 juta dan selepas rosot nilai RM80.44 juta.

 

“Penghutang sebanyak RM241.76 juta perlu dirosot nilai sepenuhnya. Akibatnya, pelarasan ini akan menyebabkan jumlah aset kumpulan berkurangan daripada RM801.32 juta kepada RM559.56 juta dan jumlah liabiliti kumpulan sebanyak RM715.72 juta akan melebihi jumlah aset sebanyak RM156.16 juta,” katanya dalam laporan tahunan tersebut.

 

Untuk FY22 kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih RM5.6 juta berbanding RM4.06 juta untung bersih setahun sebelumnya disebabkan pendiskaunan penghutang berjumlah RM23.9 juta. 

 

Hasil kumpulan menurun sedikit kepada RM45.44 juta daripada RM45.9 juta pada FY21. - DagangNews.com