Zhulian catat hasil RM149.6 juta, susut 12% akibat gangguan ekonomi global | DagangNews Skip to main content

Zhulian catat hasil RM149.6 juta, susut 12% akibat gangguan ekonomi global

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 19 Jan - Zhulian Corporation Bhd (Zhulian) merekodkan hasil sebanyak RM149.6 juta untuk tempoh 9 bulan berakhir 30 November 2021, penurunan sebanyak 12% berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM170.7 juta.

 

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Zhulian berkata, pandemik COVID-19 telah menyebabkan gangguan dan ketidaktentuan sosial dan ekonomi global yang teruk, yang turut menjejaskan pasaran tempat Kumpulan beroperasi.

 

"Perniagaan Kumpulan berkait rapat dengan sentimen pasaran pengguna am dan pertukaran mata wang asing yang turun naik. 

 

"Pengukuhan atau kelemahan Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS$) akan memberi kesan kepada prestasi Kumpulan kerana semua hasil eksport diurus niaga dalam mata wang berkenaan," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Zhulian merupakan pengeluar barang kemas dan produk pengguna dan kemudian menjualnya melalui rangkaian pemasaran langsung.

 

Bagi 9MFY21, Kumpulan itu merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM51.5 juta, penurunan sebanyak 13% berbanding tahun sebelumnya sebanyak RM59.6 juta. 

 

Keuntungan selepas cukai bagi tahun dalam tinjauan juga mencatat penurunan sebanyak 3% kepada RM45.4 juta berbanding tahun sebelumnya.

 

Bagi suku semasa dalam tinjauan, Zhulian mencatat untung selepas cukai sebanyak  RM12.6 juta, meningkat 32% berbanding suku sebelumnya sebanyak RM9.6 juta disumbangkan terutamanya oleh anak syarikat tertentu yang bertukar menguntungkan dan mengiktiraf aset cukai tertunda yang diperoleh daripada kerugian perniagaan tahun sebelumnya untuk digunakan terhadap keuntungan boleh cukai masa hadapannya.

 

"Kumpulan memastikan kelangsungan jangka panjang perniagaannya dengan menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pasaran yang berterusan di mana mungkin sambil tetap berhati-hati terhadap kesan ekonomi yang disebabkan oleh wabak COVID-19.

 

"Kami komited untuk terus meningkatkan kecekapan operasi perniagaan dan mengekalkan aliran tunai yang mencukupi pada tahun 2022," katanya. -DagangNews.com