Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura berpotensi pacu pertumbuhan di wilayah selatan – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura berpotensi pacu pertumbuhan di wilayah selatan – RHB Investment

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama rakan sejawat dari Singapura, Lee Hsien Loong (kiri) menyaksikan pemeteraian MoU Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong. [Foto FB Anwar Ibrahim]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - RHB Investment mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor hartanah memandangkan ia menyambut baik memorandum persefahaman (MoU) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dilihat mampu memacu pertumbuhan di wilayah selatan.

 

Walaupun lokasi khususnya tidak disebut, firma penyelidikan itu berkata MoU tersebut menekankan bagaimana kerajaan Malaysia dan Singapura akan bekerjasama membangunkan JS-SEZ, dan usaha tersebut termasuk mempercepatkan kelulusan, serta pelepasan orang dan kargo di pusat pemeriksaan darat.

 

“Pada pandangan kami, ini adalah langkah penting untuk menarik syarikat tempatan dan multinasional di Singapura untuk berkembang ke Johor.

 

“Kami juga difahamkan bahawa pelaburan baharu yang akan beroperasi di taman perindustrian lain (di luar JS-SEZ) juga mungkin layak mendapat faedah di bawah sistem baharu, selagi ia memenuhi kriteria tertentu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Butiran lanjut hanya akan diumumkan pada suku keempat 2024, namun RHB Investment percaya beberapa insentif cukai yang berkaitan dengan perkara ini mungkin akan diperkenalkan.

 

“Secara keseluruhan, kami kekal yakin dengan Iskandar Malaysia kerana berita mengenai pelaburan asing dan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura harus terus mengekalkan sentimen,” tambahnya.

 

Mengulas tentang Sistem Transit Rapid (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura, RHB Investment berkata kemajuan pembinaan pengangkutan tersebut mengikut jadual dengan 65% siap di sebelah Singapura dan 55% siap di sebelah Malaysia, pada akhir 2023.

 

Bagi sektor ini, RHB Investment berkata UEM Sunrise Berhad (beli, harga sasaran [TP]: RM1.18), Sunway Berhad (beli, TP: RM3), IOI Properties Group Berhad (beli, TP: RM2.10) dan AME Elite Consortium Berhad (beli, TP: RM2) sepatutnya mendapat manfaat daripada pertumbuhan kukuh di Johor memandangkan syarikat-syarikat ini mempunyai pendedahan berdekatan sempadan.

 

Menurut firma itu, UEM Sunrise dan Sunway, yang memiliki 944.5 hektar dan 716 hektar tanah berhampiran Tuas di wilayah barat Singapura, boleh menjadi penerima manfaat terbesar memandangkan pertumbuhan ekonomi Johor dijangka kukuh pada tahun-tahun akan datang.

 

“Selain itu, AME Elite Consortium (pemaju industri terkemuka di Iskandar Malaysia), IOI Properties and Eco World Development Group Berhad – yang mempunyai taman industri atau perniagaan masing-masing di Johor – juga harus mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan dari Singapura,” jelasnya.  - DagangNews.com