Zurich Malaysia, BetterTradeOff lancar Up MyZurichLife | DagangNews Skip to main content

Zurich Malaysia, BetterTradeOff lancar Up MyZurichLife

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Zurich Malaysia dan syarikat fintech dari Singapura, BetterTradeOff, melancarkan Up MyZurichLife, satu penyelesaian perancangan kewangan eksklusif untuk pengguna MyZurichLife bagi merancang masa depan yang lebih cerah. 

 

Penyelesaian ini yang dilancarkan hari ini dibangunkan setelah BetterTradeOff memenangi Pertandingan Inovasi Zurich peringkat Malaysia pada April 2020.

 

Up MyZurichLife adalah satu penyelesaian awan yang menggunakan analitik canggih dipadankan antara muka yang mesra pengguna.

 

Ini memudahkan perancangan kewangan yang komprehensif dan membolehkan sesiapa sahaja merancang dan membuat keputusan kewangan yang lebih bijak tanpa mengira tahap celik kewangan mereka.

 

Ia membolehkan pengguna menerokai pelbagai senario kewangan yang berbeza dan bagaimana setiap elemen akan mempengaruhi rancangan keseluruhan mereka termasuklah pembelian rumah baharu, perancangan persaraan dan perancangan pendidikan anak-anak. 

 

Malah, pengguna boleh berhubung dengan ejen Zurich melalui antara muka yang mudah bagi mendapatkan nasihat dalam membuat perancangan yang memenuhi keperluan mereka tanpa rumit.

 

Bercakap bagi pihak Zurich Insurance Group, Pengarah Eksekutif Zurich Holdings, Stephen Clark berkata, inovasi adalah penting bagi merealisasikan visi Zurich dan membolehkan mereka mengenal pasti dan membangunkan penyelesaian perlindungan yang bersesuaian dengan keperluan unik pelanggan. 

 

Katanya, kerjasama dengan syarikat seperti BetterTradeOff akan memberi peluang kepada pelanggan Zurich untuk mengawal kewangan dan keperluan perlindungan dengan lebih baik. 

 

"Kerjasama ini membolehkan kami memberikan yang terbaik kepada pelanggan Zurich demi masa depan mereka yang lebih terjamin," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Menurut beliau lagi, pertandingan Inovasi Zurich diadakan untuk memupuk pencipta bagi menangani cabaran yang memberi kesan kepada semua, untuk membina masa depan yang lebih lestari. 

 

"Saya amat berbesar hati kerana ia membuka pintu untuk Zurich bekerjasama dengan BetterTradeOff untuk mendorong perancangan dan perlindungan kewangan yang dapat meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif BetterTradeoff, Laurent Betrand berkata, pelancaran di Malaysia adalah langkah pertama yang diharapkan untuk menjadi rakan kongsi global Zurich.

 

“Up MyZurichLife membolehkan pelanggan Zurich mengetahui dan memahami bagaimana produk Zurich dapat meningkatkan taraf kewangan mereka dan juga menyediakan saluran penjualan dan produk baharu kepada Zurich," katanya. 

 

Zurich dan BetterTradeOff akan terus meningkatkan penyelesaian kewangan dalam talian yang mesra pengguna ini berdasarkan respons yang diterima untuk memenuhi keperluan unik pelanggan Zurich dan rakan kongsinya di Malaysia.

 

Up MyZurichLife’boleh diakses melalui myzurichlife.com.my di bawah halaman Ganjaran. Pendaftaran adalah percuma dan terbuka untuk semua rakyat Malaysia. - DagangNews.com