Azman Mahmud bakal terajui Panasonic Malaysia selepas persaraan Asmat Kamaludin | DagangNews Skip to main content

Azman Mahmud bakal terajui Panasonic Malaysia selepas persaraan Asmat Kamaludin

ASMAT KAMALUDIN telah berkhidmat sebagai Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Kanan di Panasonic Malaysia selama 20 tahun.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Panasonic Manufacturing Malaysia Berhad mengumumkan persaraan Tan Sri Asmat Kamaludin sebagai Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Kanan selepas berkhidmat selama 20 tahun di syarikat tersebut. 

 

Beliau bakal digantikan oleh Datuk Azman Mahmud, berkuatkuasa pada 1 September 2021, menurut kenyataan Panasonic Malaysia. 

 

Sebagai rekod, Azman sebelum ini menerajui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebelum bersara pada April 2021. 

 

Azman Mahmud
Azman Mahmud

 

“Asmat telah berkhidmat sebagai Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Kanan syarikat sejak 29 Ogos 2001. Beliau mempunyai perjalanan karier yang berbeza dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepanjang tempoh 35 tahun, mengakhiri persaraannya sebagai Ketua Setiausaha pada 2002.

 

“Asmat telah memberi banyak sumbangan kepada jalinan ekonomi antara Jepun dan Malaysia. Pada 11 November 2014, beliau dianugerahkan penghargaan "Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star" oleh Yang Mulia, Maharaja Jepun, sebagai penghargaan atas sumbangannya dalam memperkukuhkan hubungan ekonomi dan mempromosikan persefahaman antara Jepun dan Malaysia,” jelas Panasonic Malaysia. 

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Kenji Kamada menzahirkan setinggi penghargaan ke atas sumbangan beliau buat syarikat. 

 

Persaraan Asmat diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Panasonic Malaysia Ke-56.

 

Walaupun Panasonic Malaysia mencatatkan prestasi kewangan lebih rendah, namun Lembaga Pengarah syarikat mencadangkan dividen akhir pada kadar 148 sen bagi sesaham biasa untuk tahun kewangan 2021 (FY21) yang akan dibayar pada 23 September 2021. - DagangNews.com