Azmi Murad dilantik Ketua Pegawai Operasi MAHB | DagangNews Skip to main content

Azmi Murad dilantik Ketua Pegawai Operasi MAHB

Azmi Murad

Azmi Murad 

 

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) mengumumkan pelantikan Datuk Azmi Murad sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) berkuat kuasa 1 Oktober 2020.

Jawatan tersebut kosong sejak Januari 2020 selepas Datuk Mohd. Shukrie memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB.

Azmi merupakan pekerja yang telah lama berkhidmat bersama MAHB dengan memulakan karier dalam industri penerbangan pada tahun 1970 di Jabatan Penerbangan Awam (sekarang dikenali sebagai CAAM) sebagai Pengawal Lalulintas Udara pada 1991.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan MAHB yakin Azmi merupakan calon sesuai untuk jawatan tersebut berdasarkan pengalaman luas dan lama beliau dalam operasi dan pengurusan lapangan terbang.

Mohd. Shukrie berkata, Azmi telah menguruskan pelbagai jenis lapangan terbang sama ada domestik atau antarabangsa.

“Beliau memainkan peranan dalam pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada tahun 1998 dan menguruskan operasinya selama beberapa tahun.

“Azmi juga mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa pada beberapa tahun lalu, sebagai Pengarah Eksekutif di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen, Turki.

“Saya yakin Azmi akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azmi juga pernah memegang beberapa jawatan dalam portfolio berbeza termasuk Pengurus Besar Litar Antarabangsa Sepang pada tahun 2000 serta Pengurus Besar Komunikasi Korporat.

Selain itu, beliau juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemudahan dan Perkhidmatan Dunia Antarabangsa Majlis Lapangan Terbang sehingga November 2011.

Azmi turut berada dalam Lembaga Pengarah Tourism Malaysia selain berperanan sebagai ahli jawatan kuasa Majlis Pembangunan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTDC) serta Pelancongan dan Perhotelan Bersama Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura. - DagangNews.com