Skip to main content

Bajet 2023 dijangka lebih besar bagi tampung usaha pemulihan ekonomi – pakar ekonomi

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 22 Sept – Bajet 2023 diramal akan mencatatkan perbelanjaan keseluruhan yang lebih tinggi berbanding bajet yang dibentangkan sebelum ini di samping menggariskan senarai projek yang lebih panjang bagi menyokong pemulihan ekonomi pasca-COVID-19, kata Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) Profesor Geoffrey Williams.

 

"Peningkatan perbelanjaan ini adalah sesuatu yang sudah boleh dijangka, tetapi ia masih tidak dapat dielakkan kesan dari naratif pertumbuhan yang lebih perlahan disebabkan faktor luaran," beliau memberitahu DagangNews ketika dihubungi di sini.

Bajet2023

Beliau turut menjangkakan senarai geran latihan akan diumumkan di samping projek teknologi serta program berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

 

"Syarikat perunding yang berkaitan dengan kerajaan akan diberi peruntukan yang besar untuk melaksanakan skim, bagaimanapun kerajaan harus memantau sejauh mana syarikat-syarikat ini mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kesan pengganda kepada ekonomi dan komuniti perniagaan serta faedah kepada masyarakat secara am," jelas beliau lagi.

 

Bertentangan dengan ramalan itu, Williams berkata kerajaan seharusnya menyusun bajet yang lebih kecil dan penjimatan itu harus diserahkan semula kepada rakyat untuk membolehkan mereka membelanjakan lebih banyak bagi merancakkan ekonomi.

 

"Kita seharusnya meletakkan wang terus ke tangan pengguna dan perniagaan dan membantu mereka mengekalkan perbelanjaan pengguna, meningkatkan hasil untuk perniagaan terutamanya sektor Perindustrian, Kecil dan Sederhana (PKS) dan pada masa yang sama membolehkan lebih banyak pelaburan swasta dijana bagi memupuk  pertumbuhan ekonomi.

 

"Akan ada senarai geran kecil atau pinjaman mudah kepada PKS yang akan disasarkan dan berkemungkinan akan meliputi kurang daripada 1 peratus daripada semua syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia," jelas beliau lagi.

 

Profesor Geoffrey Williams
Profesor Geoffrey Williams

 

Mengulas mengenai sistem percukaian, Williams menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pembaharuan sistem cukai dan duti di seluruh lembaga, menamatkan perbahasan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan meliputi cukai pendapatan ke atas isi rumah dan syarikat untuk mengurangkan cukai secara keseluruhan.

 

"Ini akan menggalakkan pertumbuhan dan pendapatan cukai akan meningkat akibat pertumbuhan dan perbelanjaan yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, mengulas mengenai bantuan kepada rakyat, beliau menegaskan kerajaan harus memberi tumpuan untuk memperkenalkan skim pemindahan tunai atau Pendapatan Asas Sejagat melalui pembaharuan skim Bantuan dan sistem cukai kepada bayaran bulanan tetap untuk golongan berpendapatan rendah.

 

"Ini akan menggantikan pembayaran kebajikan kompleks semasa dengan satu sistem yang lebih mudah," kata beliau lagi. – DagangNews.com