Bank mampu ‘serap’ impak moratorium kali ini - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Bank mampu ‘serap’ impak moratorium kali ini - Penganalisis

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Jun - Institusi perbankan di Malaysia dijangka mampu ‘menyerap’ sebarang kerugian pengubahsuaian pinjaman susulan pelaksanaan semula moratorium menyeluruh dengan impak ke atas perolehan mereka diramalkan kecil.

 

Ini susulan tidak ramai dijangka memilih langkah tersebut memandangkan tidak semua peminjam terjejas akibat Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), menurut ramalan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof.

 

Beliau dalam masa sama menjangkakan pertumbuhan pinjaman sistem perbankan akan kekal stabil tahun ini kerana moratorium pinjaman akan mendorong kepada stok pinjaman yang teguh.

 

“Setakat April 2021, pinjaman sistem perbankan berkembang 3.9% tahun ke tahun kepada RM1.85 trilion. Selain itu, kami menjangkakan pinjaman runcit seperti gadai janji dan pinjaman kenderaan akan terus memacu pertumbuhan pinjaman memandangkan insentif berkaitan dilanjutkan oleh kerajaan. 

 

“Bagi sepanjang tahun 2021, kami menjangkakan permintaan pinjaman terus meningkat, mendorong kepada pertumbuhan pinjaman lebih tinggi terutamanya pada tempoh separuh kedua tahun 2021 (2H21). 

 

“Kami menjangkakan ini akan disokong oleh segmen perniagaan sebaik ekonomi dibuka semula, untuk membiayai aktiviti perniagaan yang dijangka meningkat,” kata beliau dalam satu nota kajian. 

 

Menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, kerajaan memperkenalkan semula moratorium menyeluruh selama enam bulan. 

 

Baca : PM : Moratorium untuk semua, automatik 6 bulan

 

Imran Yassin bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa peruntukan setiap bank akan terus meningkat dan lebih tinggi daripada jangkaan firma penyelidikan itu. 

 

Walaupun peruntukan yang lebih tinggi, namun angka kali ini mungkin lebih rendah berbanding tahun lalu kerana ketidaktentuan pada situasi pandemik COVID-19 ketika ini berkurangan di samping bank-bank mempunyai penimbal yang kukuh.

 

Bank-bank di Malaysia dijangka tidak mengeluarkan sebarang peruntukan buat masa ini, tetapi mungkin melakukannya bagi tahun 2022. 

 

Semasa pelaksanaan moratorium yang pertama pada tahun lalu, MIDF menjangkakan bank-bank menanggung kerugian pengubahsuaian sekitar RM2 bilion.

 

Sementara 10 bank di bawah liputan Kenanga Research pula terdedah dengan kerugian pengubahsuaian kira-kira RM5.2 bilion yang dijangka mereda secara bertahap dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Sehubungan itu, penganalisis di Kenanga, Clement Chua menjangkakan moratorium kali ini bakal mendorong kepada program bantuan bersasar yang lebih luas, mungkin sekitar 7% hingga 16% pinjaman kasar.

 

“Ini seterusnya diterjemahkan kepada peruntukan kos kredit yang lebih besar memandangkan persekitaran perniagaan dan aliran pendapatan yang bermasalah akan menyebabkan lebih banyak tunggakan, apatah lagi menjejaskan permintaan pinjaman dalam jangka masa terdekat,” katanya. 

 

Kenanga menyemak turun penarafan ke atas sektor perbankan kepada ‘neutral’ dengan jangkaan minat pelabur semakin berkurangan. 

 

Chua menekankan terdapat risiko ke atas perolehan bank-bank akibat kerugian pengubahsuaian, peruntukan lebih tinggi dan pertumbuhan pinjaman yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

Pelabur disarankan untuk melabur ke dalam saham Malayan Banking Berhad (Maybank) kerana kadar hasil yang berpotensi kukuh, selain RHB Bank yang mempunyai ruang lebih besar untuk melaksanakan strategi pengurusan modal, terutama pada masa-masa yang tidak menentu ini. - DagangNews.com