Bantuan Khas COVID-19 (BKC):  Rahmat dalam Kesukaran | DagangNews Skip to main content

Bantuan Khas COVID-19 (BKC):  Rahmat dalam Kesukaran

Oleh SITI ROSNITA SAKARJI dan KHALIJAH MOHD NOR

 

 

PENGUMUMAN khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumum oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa menjadi Perdana Menteri pada Jun lalu, merupakan berita gembira kepada golongan rakyat dan sebagai langkah yang amat bertepatan untuk membantu golongan yang terjejas yang semakin tertekan semenjak berlakunya pandemik COVID-19.

 

Beberapa kategori penerima yang telah dikenal pasti akan menerima faedah bantuan ini termasuklah kategori miskin tegar, B40 dan M40. Bantuan Fasa 1 telah bermula pada hari ini, 6 September 2021 dan selewat-lewatnya pada 10 September 2021.

 

Malah pengganti beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa terdapat lebih banyak bantuan yang akan diberikan kepada rakyat menjelang bulan hadapan.

 

 

PM

 

 

Pemohon Bantuan Khas COVID-19 adalah di bawah kelolaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Bantuan seperti ini amat diharapkan oleh rakyat dan golongan sasaran demi mengharungi cabaran di era pandemik COVID-19 ini.

 

Pandemik COVID-19 telah berpanjangan selama hampir tiga tahun, semenjak mulanya tercetus pada tahun 2019. 

 

Pelbagai langkah telah dibuat oleh kerajaan sebagai usaha mengekang penularan wabak virus COVID-19 termasuklah perintah kawalan pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Bersyarat (PKB), Perintah Kawalan Pergerakan Darurat (PKPD) serta Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 

Kepatuhan terhadap perintah yang ditetapkan oleh kerajaan adalah sebagai langkah yang baik untuk membantu pemulihan dalam komuniti, namun pada masa yang sama, rakyat telah mengalami kesulitan dan kesukaran menjana ekonomi. 

 

Sejumlah RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan berkaitan pada awal September bagi bayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dengan proses pengkreditan Fasa 1 bermula 6 hingga 10 September ini.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia sekali gus memanfaatkan seramai 10 juta penerima daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan. 

 

 

PM

 

Bantuan Tunai Langsung berjumlah RM10 bilion ini adalah sebahagian daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang bernilai RM150 bilion yang diumumkan sebelum ini, selain Bantuan Prihatin Rakyat yang ditawarkan kepada golongan sasar bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun ini.

 

Kelayakan penerima BKC dalam golongan miskin tegar dan B40 ialah berdasarkan kriteria kelayakan BPR 2021 dengan jumlah pendapatan isi rumah atau warga emas (RM5,000 dan ke bawah), manakala individu bujang (RM2,500 dan ke bawah).

 

Bagi kelayakan penerima M40 pula, golongan ini perlu melaporkan cukai pendapatan dengan jumlah  pendapatan isi rumah (RM5,001 hingga RM9,000), manakala bujang (RM2,501 hingga RM5,000).

 

Bagi miskin tegar, isi rumah yang berkelayakan menerima jumlah bantuan sebanyak RM1,300, ia melibatkan tiga fasa pembayaran iaitu RM500, RM500 dan RM300; warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM500 melibatkan dua fasa pembayaran (RM200 dan RM300).

 

Penerima golongan B40 pula, isi rumah dengan kelayakan bantuan sebanyak RM800 adalah melibatkan dua fasa pembayaran iaitu RM500 dan RM300 manakala warga emas sebatang kara dan individu bujang dengan kelayakan bantuan RM200 akan menerima sekali pembayaran.

 

Seterusnya bagi penerima M40, isi rumah dengan kelayakan bantuan RM250, warga emas sebatang kara dan individu bujang (RM100) juga menerima sekali pembayaran.

 

Biasanya guru-guru akan menghantar latihan PdPR melalui platform whatsapp, telegram dan sebagainya pada waktu pagi dengan mengikut jadul waktu setiap kelas. 

 

 

PM

 

 

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Aminuddin Hassim berkata pihaknya menerima permohonan yang amat tinggi iaitu purata 300 permohonan sehari dan menasihatkan agar pemohon berhati-hati mengisi borong tersebut agar proses semakan berjalan dengan lancar dan seterusnya tiada kelewatan dalam meluluskan permohonan.

 

Beliau juga memaklumkan bahawa pemilihan bagi permohonan ini dilaksanakan dengan penuh teliti agar ianya dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

 

Malah menurut Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah, kerajaan memberi peluang kepada pemohon daripada kategori T20 yang telah berubah menjadi M40 semenjak COVID-19, untuk turut memohon bantuan tersebut.  Para pemohon yang berstatus rayuan juga akan diberi perhatian sewajarnya.

 

Pengagihan bantuan kepada rakyat amat ditagih di saat rakyat sedang bergelut dengan masalah ekonomi yang meruncing sepanjang menghadapi pandemik COVID-19. 

 

Golongan sasaran yang layak menerima bantuan ini haruslah memanfaatkan bantuan ini sebaiknya dan memberi keutamaan kepada keperluan kelangsungan hidup. 

 

Kerajaan sudah pasti akan terus berusaha membantu rakyat, namun rakyat juga harus berusaha mencari alternatif dalam meneruskan kelangsungan hidup. 

 

Kebergantungan terhadap bantuan kerajaan semata-mata tidak mencukupi dan sebaik-baiknya berikhtiar untuk terus meningkatkan taraf hidup masing-masing.

 

Pemberian PKC dilihat sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan diharapkan kerajaan akan terus komited memastikan kesejahteraan keluarga Malaysia terutama kumpulan sasar. 

 

Usaha yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan agar rakyat akan dapat keluar daripada masalah ekonomi pada masa akan datang. - DagangNews.com

 

 

Siti Rosnita Sakarji merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Kelantan dan Khalijah Mohd Nor adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Melaka