Berdepan tekanan kos bahan api tinggi, MIDF Research semak turun harga sasaran TNB kepada RM8.45 | DagangNews Skip to main content

Berdepan tekanan kos bahan api tinggi, MIDF Research semak turun harga sasaran TNB kepada RM8.45

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jun - MIDF Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan harga sasaran yang lebih rendah pada RM8.45 berbanding RM9.55 sesaham sebelum ini ekoran impak kos bahan api yang tinggi terhadap kumpulan.

 

Pada Jumaat lalu, kerajaan telah memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung, sebaliknya terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.

 

Penganalisisnya, Hafriz Hezry berkata, harga bahan api kekal tinggi apabila perang di Ukraine telah mencetuskan masalah tenaga global sekali gus memburukkan lagi kebimbangan terhadap bekalan arang batu dalam pasaran yang sudah berada dalam keseimbangan yang ketat.

 

Jelasnya, harga bahan api yang tinggi ini menyebabkan kos penjanaan TNB kurang pulih dengan ketara, berjumlah RM3.5 bilion pada suku pertama 2022, semakin meningkat daripada RM3.2 bilion dan RM1.3 bilion masing-masing pada suku keempat dan suku ketiga 2021.

 

Tambah beliau, semakin memburukkan lagi situasi ini ialah kelemahan ringgit, yang akan meningkatkan lagi kos bahan api.

 

"Secara dasarnya, subsidi yang diberikan kerajaan dapat mengurangkan sedikit kebimbangan terhadap pemulihan TNB pada separuh pertama. 

 

"Bagaimanapun, dengan mengambil kira harga bahan api yang masih kekal tinggi memasuki separuh kedua 2022, kami masih menjangkakan kekurangan pemulihan dan keperluan modal kerja TNB akan kekal tinggi yang seterusnya dijangka memberi tekanan kepada penjanaan aliran tunai bebas (FCF)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sebelum ini, kadar tarif elektrik dijangka dinaikkan mulai 1 Julai susulan kenaikan kos pengeluaran akibat lonjakan harga arang batu melebihi 117% sejak hujung tahun lalu.

 

Namun, ia mendapat tentangan ramai pihak yang ingin kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tarif elektrik dan air yang baharu susulan tekanan dihadapi rakyat akibat kenaikan harga barang serta pandemik COVID-19.

 

Hafriz berkata, melangkaui keperluan modal kerja yang tinggi, kenaikan pendapatan asas tidak bergerak walaupun terdapat peningkatan kitaran makro.

 

Ini kerana katanya, sebahagian besar entiti terkawal TNB beroperasi berdasarkan asas had hasil, iaitu bermakna sebarang lebihan pertumbuhan permintaan elektrik tahunan melebihi 1.7% yang ditetapkan di bawah tempoh regulatori ketiga (RP3) dan sebarang variasi dalam harga jualan purata (ASP) berbanding tarif asas diselaraskan melalui mekanisme pelarasan hasil.

 

"Sebagai perbandingan, mekanisme ini meletakkan TNB sebagai defensif dalam kitaran ke bawah makro kerana ia memberikan asas kepada pendapatan," katanya.

 

Secara keseluruhan, beliau berkata, harga sasaran TNB disemak turun kepada RM8.45 sesaham selepas mengambil kira impak daripada modal kerja yang lebih tinggi dalam anggaran FCF.

 

"Kami juga mengurangkan anggaran bayaran dividen sehingga 40%, yang mana ia berada dalam julat polisi bayaran paling rendah kumpulan antara 30 hingga 60%. 

 

"Susulan jumlah kenaikan yang minimum dan prospek dividen yang kurang optimis, mendorong kami mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap TNB," jelasnya. 

 

Setakat 9.41 pagi ini, harga saham TNB susut 9 sen atau 1.1% kepada RM8.10 dengan 660,100 saham diniagakan. - DagangNews.com