Bintai Kinden bekal peralatan perpaipan O&G kepada syarikat Arab Saudi | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden bekal peralatan perpaipan O&G kepada syarikat Arab Saudi

Bintai Kinden berharap dapat memanfaatkan rangkaian rakan kongsi tempatan dan memperoleh lebih banyak kontrak O&G. - Gambar hiasan
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Jun - Bintai Kinden Corp. Bhd. menerusi anak syarikatnya, Bintai Energy Sdn. Bhd. memeterai perjanjian pemasaran dan pengedaran dengan Marafie Industrial Co. untuk membekalkan peralatan perpaipan kepada syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) di Arab Saudi.

 

Di bawah perjanjian itu, Marafie akan bertindak sebagai wakil Bintai Energy untuk terlibat dalam pembangunan O&G di rantau tersebut.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, syarikat menjangkakan permintaan bagi peralatan perpaipan berkaitan O&G akan meningkat sejajar dengan pemulihan sektor tersebut di peringkat global.

 

"Arab Saudi adalah negara yang kaya dengan hasil minyak dan ia memiliki kira-kira 17% daripada rizab petroleum.

 

"Kami berharap dapat memanfaatkan rangkaian rakan kongsi tempatan kami dan memperoleh lebih banyak kontrak O&G di rantau ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bintai Energy merupakan syarikat usaha sama 51:49 antara anak syarikat milik penuh Bintai Kinden, Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn. Bhd. dan PFF.

 

Ia merupakan syarikat tujuan khas yang dikenal pasti untuk membekalkan bahan dan peralatan kepada industri O&G tempatan dan antarabangsa termasuk Asia Barat melalui saluran pengedaran PFF.

 

Sementara itu, Marafie adalah syarikat yang menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada projek fabrikasi yang rumit, daripada penjualan dan pembidaan projek kepada kejuruteraan pembinaan, penjadualan, jaminan kualiti, logistik dan tindakan susulan dengan pelanggan.

 

Kumpulan mempunyai kemudahan fabrikasi dan pejabat jualan serantau di Arab Saudi.

 

Perjanjian kedua-dua pihak itu adalah untuk tempoh 3 tahun tertakluk kepada tempoh lanjutan masa atas persetujuan bersama oleh Bintai Energy dan Marafie, melainkan notis penamatan secara bertulis diberikan oleh mana-mana pihak 60 hari sebelum penamatan.

 

Kerjasama itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham terbitan dan berbayar Bintai Kinden tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan. - DagangNews.com