BNM : Ekonomi negara dijangka terus berkembang di sebalik pertumbuhan global yang lemah | DagangNews Skip to main content

BNM : Ekonomi negara dijangka terus berkembang di sebalik pertumbuhan global yang lemah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Ekonomi Malaysia diunjurkan terus berkembang bagi bulan-bulan akan datang pada tahun ini berdasarkan kepada pertumbuhan separuh pertama 2022 sebanyak 6.9%.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, meskipun permintaan luaran mungkin terkesan oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

 

Katanya, pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerjaan yang semakin pulih dan ketibaan pelancong yang lebih banyak serta pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun. 

 

"Bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia terus terdedah kepada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang lebih meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin buruk," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Susulan pertumbuhan global yang lebih perlahan, beliau mengekalkan pertumbuhan tahun ini dalam julat antara 5.3 hingga 6.3%.

 

Namun, pertumbuhan global pada tahun ini dijangka terus berada pada landasan pemulihan, disokong oleh pembukaan semula ekonomi yang berterusan dan pasaran pekerjaan yang lebih kukuh. 

 

Namun begitu, konflik ketenteraan di Ukraine dijangka melembapkan kadar pemulihan global. Harga komoditi yang semakin meningkat mencerminkan gangguan pada pengeluaran dan perdagangan komoditi akibat perang dan sekatan yang berkaitan oleh negara-negara Barat ke atas Rusia. 

 

Baca : BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 8.9% pada suku kedua

 

Keadaan ini menyebabkan inflasi global yang lebih tinggi, yang akan memburukkan lagi tekanan kos ke atas syarikat di samping mewujudkan kesan negatif terhadap sentimen dan perbelanjaan pengguna.

 

Kebanyakan ekonomi utama dijangka mengalami tekanan inflasi yang tinggi dan berlarutan dalam persekitaran harga komoditi yang meningkat dan pasaran pekerja yang ketat. 

 

Bank-bank pusat di ekonomi utama telah mempercepat kadar dasar monetari diperketat bagi menangani inflasi dan memastikan jangkaan inflasi terus terkawal.

 

Keadaan kewangan dijangka semakin ketat. Semua faktor ini boleh menjejaskan pertumbuhan.

 

Dalam hal ini, Nor Shamsiah berkata, inflasi keseluruhan juga diunjurkan lebih tinggi pada beberapa bulan akan datang sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas daripada diskaun ke atas harga elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga 2021. 

 

Katanya, ia akan menyaksikan inflasi teras diunjur berpurata lebih tinggi pada 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi. 

 

"Tekanan menaik terhadap inflasi dijangka kekal dibendung sebahagiannya oleh langkah-langkah kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. 

 

"Bagaimanapun, prospek inflasi terus bergantung pada risiko inflasi menjadi semakin tinggi yang berpunca daripada kekukuhan permintaan dalam negeri, perkembangan harga global dan langkah-langkah dasar dalam negeri," jelas beliau. - DagangNews.com