KUALA LUMPUR 30 Julai - Nisbah pinjaman terjejas dijangka kekal stabil secara meluas dalam tempoh terdekat apabila bank terus memberikan bantuan bayaran balik pinjaman untuk peminjam berdaya maju bagi menghadapi kesukaran kewangan yang sementara.
Dalam laporan Perkembangan Monetari dan Kewangan bagi Jun 2021, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhan kekal tidak berubah masing-masing pada 1.6% dan 1.0%, dalam keadaan jejas nilai bulanan yang meningkat sedikit.
"Bagaimanapun, institusi perbankan terus menyediakan peruntukan tambahan bagi potensi kerugian kredit, yang kini berada pada kadar 1.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan," katanya hari ini.
Sistem perbankan terus mencatatkan tahap nisbah perlindungan mudah tunai (LCR) yang kukuh manakala
profil pendanaan bank-bank juga kekal stabil berikutan pertumbuhan deposit yang mampan.
BNM berkata, pertumbuhan pembiayaan bersih menjadi sederhana kepada 4.3% pada Jun berbanding Mei, 4.8%, mencerminkan penurunan dalam pertumbuhan pinjaman terkumpul (Jun: 3.4%, Mei: 3.9%) dan pertumbuhan bon korporat terkumpul (Jun: 6.9%, Mei: 7.2%).
"Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul menjadi sederhana kepada 5.2% (Mei: 6.1%) berikutan penurunan pengeluaran pinjaman terutama untuk pembelian kereta penumpang, harta kediaman dan kad kredit.
"Tetapi, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat kepada 0.9% (Mei: 0.4%) mencerminkan pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih kukuh (Jun: 1.6%, Mei: 0.4%)," katanya.
Pada Jun, menurut BNM, pasaran kewangan domestik dipengaruhi oleh faktor dalam negeri dan luaran.
Katanya, sentimen pelabur terjejas akibat ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik di rantau ini.
Pelaksanaan langkah-langkah pembendungan selanjutnya yang lebih ketat berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam negeri menyebabkan kebimbangan yang berterusan terhadap prospek ekonomi dan peningkatan penghindaran risiko terhadap aset kewangan domestik.
"Kesannya, FBM KLCI merosot sebanyak 3.2% dan ringgit menyusut nilai sebanyak 0.4% berbanding dengan dolar AS," tambahnya.
Jelas bank pusat itu, peningkatan jangkaan bahawa dasar monetari di AS akan menjadi semakin ketat juga telah menyebabkan pengukuhan dolar AS secara meluas.
Hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 4.7 mata asas disebabkan sebahagiannya oleh jangkaan terbitan bon yang lebih tinggi susulan pengumuman sokongan fiskal tambahan apabila kes COVID-19 dalam negeri meningkat pada suku kedua 2021.
BNM berkata, inflasi keseluruhan menurun kepada 3.4% pada Jun berbanding 4.4% pada Mei disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori pengangkutan serta makanan dan minuman bukan alkohol. - DagangNews.com