Cahya Mata Sarawak lantik perunding luar dalam siasatan salah urus kewangan | DagangNews Skip to main content

Cahya Mata Sarawak lantik perunding luar dalam siasatan salah urus kewangan

 

KUALA LUMPUR 7 Mei  - Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) mungkin akan melantik perunding luar menjelang pertengahan bulan ini untuk menyiasat dakwaan salah urus kewangan berhubung pelaburan dan operasinya.   

 

Syarikat itu ketika menjawab pertanyaan Bursa Malaysia hari ini berkata terma rujukan (TOR) sedang dirangka dan dijangka siap minggu ini. 

 

"TOR sedang dimuktamadkan dan jadual penyiapan akan dipersetujui dengan perunding luar yang akan dilantik menjelang pertengahan bulan ini. 

 

"Tugas perunding luar yang paling utama adalah untuk mengkaji sama ada terdapat kawalan yang mencukupi dan langkah-langkah pengurangan risiko  bagi memastikan tiada kejadian berulang pada masa hadapan," katanya, lapor Bernama

 

CMS berkata kebimbangan telah dinyatakan kepada lembaga pengarah mengenai  kerugian pelaburan serta kontrak yang agak besar yang telah diambil kira dan dilaporkan dalam penyata kewangannya yang diaudit bagi tahun 2016, 2017, 2019 dan 2020. 

 

"Sifat urus niaga ini akan tertakluk kepada semakan oleh perunding luar yang akan dilantik oleh syarikat," tambahnya.

 

Rabu lalu, CMS mengumumkan penggantungan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Syed Hizam Alsagoff, berkuat kuasa serta-merta selama 30 hari. 

 

Syarikat itu dalam satu makluman kepada bursa hari ini menjelaskan tugas CFO kumpulan akan diambil alih oleh Pengurus Besar Kewangan Kumpulan, Tan Mei Fung. Tan telah bersama kumpulan itu selama 24 tahun dan mempunyai pengalaman serta pengetahuan yang diperlukan untuk memegang peranan dalam interim.

 

Sementara itu, CMS telah mengeluarkan kenyataan media bahawa lembaga pengarahnya telah meluluskan resolusi meminta Timbalan Pengerusi Kumpulan, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib untuk meneruskan perkhidmatannya dengan kumpulan dan tidak mengambil cuti tanpa kehadiran seperti yang diumumkan pada 22 April lepas.

 

kreatif
Mahmud Abu Bekir Taib

 

Syarikat itu berkata beliau telah bersetuju dengan permintaan itu dan lembaga telah memaklumkan kepada pihak berkuasa dengan sewajarnya.

 

Pada 22 April, Mahmud menghantar permohonan untuk bercuti tanpa kehadiran berhubung dengan laporan kepada pihak berkuasa berikutan dakwaan salah urus kewangan.  Dakwaan itu diterima melalui saluran pemberi maklumat kumpulan.

 

"Lembaga pengarah benar-benar berpuas hati bahawa tuduhan konflik kepentingan yang dibuat terhadap Mahmud dan bekas Ketua Pegawai Maklumat CMS, Karl Vink, berhubung pemberian kontrak oleh CMS I-Systems Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh CMS, kepada Vienna Advantage GmbH adalah tanpa sebarang asas," kata CMS. 

 

Operasi CMS merangkumi lebih 30 syarikat merentasi enam segmen perniagaan dan mengupah tenaga kerja seramai 2,147 orang di 55 pejabat di seluruh Sarawak. - DagangNews.com