Chin Hin muncul pemegang saham tunggal terbesar Ajiya | DagangNews Skip to main content

Chin Hin muncul pemegang saham tunggal terbesar Ajiya

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - Konglomerat hartanah dan bahan binaan, Chin Hin Group Berhad muncul pemegang saham tunggal terbesar syarikat pembuatan bahan binaan, Ajiya Berhad yang menjadikannya syarikat senaraian awam keempat di dalam kumpulannya.

 

Chin Hin dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, mereka akan mengambil alih 24.68% kepentingan ekuiti Ajiya dan ia akan membantu kumpulan itu mengembangkan rangkaian produknya bahan binaannya seperti kaca keselamatan, bumbung logam, pintu logam dan bingkai tingkap yang bernilai tambah tinggi.

 

Ia juga adalah pengambilalihan terbesar Chin Hin sejak tersenarai di Pasaran Utama pada 2016.

 

Chin Hin hari ini memetrai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan pemegang saham terbesar Ajiya dan Avia Kapital Sdn. Bhd. (vendor) bagi mengambil alih 72 juta saham biasa atau 24.68% pegangan di dalam syarikat itu.

 

Apabila selesai penjualan saham berkenaan, Datuk Chan Wah Kiang akan dilantik semula sebagai Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ajiya kerana beliau merupakan aset penting dalan memajukan syarikat itu dan berpengalaman dalam perniagaan bumbung logam serta kaca keselamatan 

 

Ajiya mempunyai penyata kewangan yang kukuh yang disokong oleh jumlah aset sebanyak RM485.5 juta berbanding liabiliti sebanyak RM67.3 juta. Ajiya juga adalah syarikat dengan tunai bersih dan mencatatkan simpanan tunai sebanyak RM146.7 juta pada akhir November 2021.

 

Syarikat itu melengkapkan tahun kewangan berakhir 30 November 2021 dengan kukuh, dengan keuntungan bersih RM18.9 juta berbanding pendapatan sebanyak RM268.5 juta manakala Chin Hin merekodkan keuntungan keuntungan bersih RM31.3 juta dan pendapatan RM1.2 bilion untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2021.
 

Pengarah Urusan Chin Hin, Chiau Haw Choon berkata, kumpulan itu boleh mendapatkan tempahan dan rangkaian bekalan serta pelanggan Ajiya yang telah diperoleh sejak penubuhan syarikat itu sejak tiga dekad lalu. 

 

"Pengambilalihan itu sejajar dengan objektif kumpulan untuk memperoleh kepentingan strategik dalam syarikat yang berpotensi untuk berkembang pada masa akan datang dan sebagai tambahan kami juga boleh memanfaatkan kehadiran Ajiya di pasaran antarabangsa seperti Thailand bagi tujuan perkembangan rangkaian perniagaan," katanya.

 

Sementara itu, Wah Kiang berkata, pihaknya positif dengan perjanjian bersama Chin Hin kerana Ajiya dapat memanfaatkan pendedahan kumpulan itu terhadap perniagaan pembangunan hartanah

 

"Penglibatan Chin Hin dalam segmen bahan binaan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam memperkemas kos dan mengoptimumkan aliran penghantaran pesanan.

 

"Pembangunan hartanah dan sektor pembinaan di Malaysia mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang menjanjikan prospek perkembangan yang baik selain disokong oleh kadar faedah rendah untuk hartanah serta unit komersial dan ia akan memberi manfaat kepada Ajiya kesan daripada peningkataan permintaan untuk bahan binaan," katanya. - DagangNews.com