CIMB pamer kemajuan ESG yang lebih baik, MIDF Research kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

CIMB pamer kemajuan ESG yang lebih baik, MIDF Research kekal saranan 'beli'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Sept - CIMB Group Holdings Bhd. dilihat menunjukkan kemajuan yang baik dalam membangunkan rangka kerja dan dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), demikian menurut MIDF Research. 

 

Penganalisisnya, Samuel Woo berkata, kumpulan perbankan itu masih kekal salah satu pilihan tempatan yang lebih baik bagi ESG.

 

Menurutnya, CIMB telah meningkatkan komitmen kewangan mampannya kepada RM60 bilion menjelang 2024 selepas mencapai sasaran RM30 bilion dua tahun lebih awal daripada jadual pada separuh pertama tahun ini.

 

Sebelum ini, katanya, ia menyenaraikan lima sektor utama berisiko tinggi iaitu minyak sawit, minyak dan gas (O&G), perhutanan, pembinaan dan infrastruktur, dan arang batu.

 

CIMB kemudiannya menambah dua lagi sektor baharu iaitu perlombongan dan kuari serta pembuatan (khususnya produk yang berintensifkan karbon dan buruh).

 

"Memandangkan 2050 masih jauh, kumpulan telah menetapkan matlamat untuk dicapai menjelang 2030 dan 2040. 

 

"Setakat ini, CIMB telah memperkenalkan sasaran untuk dua sektor iaitu arang batu haba dan simen.Sasaran untuk sektor lain akan diperkenalkan pada tahun hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : CIMB gandakan sasaran kewangan mampan kepada RM60 bilion menjelang 2024

 

Tahun lalu, CIMB mengumumkan bahawa ia akan menggunakan RM30 bilion dalam kewangan mampan dari 2021 hingga 2024, bertujuan untuk mewujudkan impak positif sejajar dengan Rangka Kerja Produk dan Perkhidmatan Impak Hijau, Sosial, Lestari.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, bagi mencapai sasaran baharu itu, bank baru-baru ini melancarkan akaun pelaburan jangka mampan-i (TIA-i) pertama di ASEAN untuk komuniti perniagaan.

 

TIA-i mampan patuh syariah itu adalah pelaburan yang didorong tujuan berisiko rendah yang menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG).

 

Bagaimanapun, menurut Woo, sasaran CIMB masih kekal meluas dan tidak ketara, dengan kurang tumpuan untuk melibatkan pelanggan dalam usaha pengurangan pelepasannya daripada yang diharapkannya.

 

Katanya, walaupun bank-bank tertentu telah mengubah sebahagian besar usaha mereka dalam pelaksanaan, CIMB nampaknya masih membangunkan rangka kerjanya.

 

"Di samping itu, pendedahannya mengenai aktiviti pembiayaan mampannya adalah kurang memberangsangkan, kekurangan maklumat walaupun mengenai pinjaman C1-5.

 

"Namun, kami mendapati Dasar Kepelbagaian dan Kemasukan Pekerja Kumpulan nampaknya membuahkan hasil yang baik dengan 42% daripada jawatan kepimpinan diisi oleh wanita, manakala nisbah gaji jantina adalah lebih kurang sama," jelasnya.

 

Oleh itu, secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap CIMB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.16 sesaham berikitan prospeknya kekal meyakinkan. 

 

Ini didorong kedudukannya di peringkat serantau yang menawarkan menawarkan penampan yang berkesan khususnya tekanan negara manakala CIMB Niaga menjadi proksi kepada pasaran Indonesia yang menguntungkan.

 

Selain itu, pasaran Thailand dan Indonesia sepatutnya menyaksikan tekanan penguncupan pembiayaan berikutan langkah penstrukturan semula pembiayaan dan kesan daripada langkah pengoptimuman kos yang efektif. 

 

Setakat 9.22 pagi, harga saham CIMB menokok 3 sen atau 0.56% kepada RM5.41 dengan 198,100 saham diniagakan. - DagangNews.com