Armin Baniaz capai penyelesaian damai dengan AIM, hentikan tindakan mahkamah | DagangNews Skip to main content

Armin Baniaz capai penyelesaian damai dengan AIM, hentikan tindakan mahkamah

Armin Baniaz (duduk, dua dari kanan) bersama Tun Mahathir dan bekas ahli MEP Parti Pejuang pada 9 Januari 2023.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Jan - Bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat dan Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti Pejuang Tanahair, Armin Baniaz Pahamin berjaya menyelesaikan pertikaian dengan Amanah Ikhtiar Malaysia secara damai, sekali gus kedua-dua pihak bersetuju menghentikan tindakan mahkamah.

 

Armin Baniaz mengumumkan peletakan jawatan daripada jawatan parti itu pada 5 Januari lalu. Parti pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu tewas teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun lepas.

 

Tun Mahathir sendiri telah meletak jawatan sebagai pengerusi parti pada Disember 2022.

 

Berikut adalah kenyataan penuh Armin Baniaz:

1. Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan media yang telah dibuat pada 11.10.2021 dan 8.11.2021 yang mana telah dibuat membabitkan Amanah Ikhtiar Malaysia (“AIM”) di atas kapasiti saya selaku Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti PEJUANG.

 

2. Sepanjang perjalanan proses Mahkamah yang melibatkan perkara-perkara yang diadukan di dalam kenyataan-kenyataan media saya tersebut dan berdasarkan perkembangan terkini tindakan di Mahkamah tersebut, PEJUANG menerima penjelasan-penjelasan daripada pihak AIM dan dengan itu tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini dengan lebih lanjut.

 

3. Matlamat PEJUANG yang menjunjung nilai-nilai murni dengan berteraskan prinsip memerangi rasuah dan menolak kleptokrasi serta melaksanakan hak untuk bersuara bagi tujuan semak dan imbang ke atas pentadbiran dan pengurusan badan-badan Kerajaan, telahpun dilaksanakan selaras dengan sistem demokrasi negara ini.

 

4. Oleh yang demikian, kedua-dua pihak AIM dan saya telah mencapai persetujuan dan persepakatan untuk menghentikan tindakan Mahkamah tersebut dan memfokuskan ke arah perkhidmatan kepada rakyat. - DagangNews.com