Bentuk Malaysia baharu dengan konsep Madani demi pembangunan holistik | DagangNews.com Skip to main content

Bentuk Malaysia baharu dengan konsep Madani demi pembangunan holistik

oleh NORAZLINDA MOHAMMAD

KERAJAAN Perpaduan telah mencatat sejarah perubahan landskap politik Malaysia di mana Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diangkat sebagai Perdana Menteri yang Ke-10. 

 

Uniknya; terbentuknya Kerajaan Perpaduan diperkuatkan lagi dengan gabungan kerjasama parti politik iaitu Pakatan Harapan, (PH) Barisan Nasional, (BN)  Gabungan Parti Sarawak, (GPS) Gabungan Rakyat Sabah, (GRS) dan Parti Warisan sekaligus membentuk Kabinet Kerajaan Perpaduan. 

 

Perkara ini sememangnya mendapat perhatian  pemimpin politik di dalam, luar negara serta rakyat yang memerhati perkembangan usaha dan corak kepimpinan kerajaan baharu yang sedang menghijau. 

 

Justeru, berilah ruang dan peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk menjalankan amanah, tanggungjawab di dalam membina negara ke arah Malaysia baharu dengan Konsep Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri. 

 

Janganlah sekali-kali menghukum atau menilai kepimpinan kerajaan baharu, beberapa bulan sebelum diuji tajinya.

 

Pengenalan konsep Malaysia Madani oleh PMX

Malaysia Madani ialah konsep yang berteraskan kemanusiaan dan nilai-nilai murni yang diterapkan bukan hanya pada pemimpin tetapi disemai oleh setiap sanubari rakyat Malaysia. 

 

Perkataan Madani yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkumi enam nilai utama iaitu keMampanan, keSejahteraan, Daya cipta, Hormat, keYakinan dan Ihsan. 

 

Konsep ini menterjemahkan niat dan hasrat Perdana Menteri di dalam mentadbir urus negara ke arah kebaikan, Adil dan memperbaiki kelemahan sistem tadbir urus.  Pelaksanaan dan Tindakan Kerajaan Perpaduan akan berteraskan kepada Moral dan Etika.

 

madani

 

Harapan Rakyat Malaysia

Kerajaan Perpaduan telah diberi mandat, kepercayaan untuk memimpin dan mentadbir Malaysia melalui pilihan raya yang sememangnya menunjukkan negara mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. 

 

Rakyat Malaysia kini menaruh harapan tinggi kepada pemimpin dan kabinet kerajaan baharu bukan sahaja di dalam menerajui pentadbiran politik malah kekal fokus kepada langkah-langkah penyelesaian masalah negara yang disuarakan sebelum pilihan raya. 

 

Ia merangkumi masalah sosial, politik, ekonomi, permasalahan rasuah, jenayah dan kemiskinan yang sudah lama berakar umbi. 

 

Barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan seharusnya lebih cakna dan serius memegang amanah rakyat di dalam mengutamakan agenda rakyat dengan memperjuangkan hak atau suara rakyat serta menjalankan tadbir urus bercirikan kemanusiaan, berintegriti selaras dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

 

Pemimpin seharusnya bersikap telus serta berusaha mengurangkan penyelewengan di dalam sistem tadbir urus negara bagi mencerminkan kewibawaan memimpin dengan semangat kebersamaan Kerajaan Perpaduan yang bermuafakat dan mempunyai arah hala tuju yang sama, sehala; iaitu membina pembangunan mampan dan kemakmuran negara yang holistik. 

 

Bak kata pepatah Melayu, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.”

 

Penyelesaian kepada permasalahan negara

Barisan Kerajaan baharu ini tertubuh di saat negara Malaysia berdepan dengan pelbagai masalah, polemik iaitu krisis ekonomi, kos sara hidup tinggi,  perubahan iklim, fasa endemik atau pemulihan wabak COVID-19, permasalahan rasuah, ketirisan dan penyelewengan kuasa. 

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan beliau fokus dan komited untuk bekerja keras memerangi isu rasuah, menangani permasalahan kos sara hidup rakyat yang terbeban serta berusaha mengukuhkan ekonomi negara bersama barisan kabinet kepimpinannya. 

 

madani

 

Ini sepatutnya dikotakan bukan sekadar naratif, agenda atau kata-kata cliche seorang pemimpin politik yang hanya berkumandang atau dilaungkan di kempen pilihan raya.  Bak kata pepatah, “ Kerbau dipegang pada talinya, Manusia dipegang pada katanya.”

 

Menangani permasalahan negara seharusnya bukan diletak pada bahu pemimpin tetapi ia perlu digalas dengan bijak oleh semua pihak iaitu kerjasama dan integrasi daripada kementerian, pentadbiran awam, swasta, agensi kerajaan dan agensi bukan kerajaan (NGO).

 

Setiap dasar, langkah atau tindakan penyelesaian perlu dirancang rapi, diwartakan melalui sistem komunikasi yang seragam tidak kira melalui hebahan media konvensional dan media baharu agar ia memberi impak yang positif kepada masyarakat dan pembangunan negara.

 

Langkah kesepaduan, keseragaman akan memperkasa imej kredibiliti dan kecekapan Kerajaan Perpaduan bahkan ia meningkatkan kepercayaan rakyat dengan tindakan rasional kerajaan yang bersifat kemanusiaan, tidak mementingkan diri dan fokus mendengar suara dan hak rakyat yang berteraskan konsep Malaysia Madani. 

 

Selain itu, hukuman yang dilaksanakan perlu setimpal dan sistem undang-undang Malaysia perlu dikaji semula, digubal ekoran dengan kerosakan imej Malaysia di mata dunia kerana terpalit dengan gejala rasuah. 

 

Pelan Antirasuah Nasional (NACP) harus dikuatkuasa dan dilaksanakan bagi mengekang permasalahan ini daripada menular kerana ia menyumbang kepada masalah ekonomi negara.

 

Kos sara hidup rakyat yang tinggi dan terbeban harus diutamakan oleh barisan kepimpinan bagi membantu meringankan beban masyarakat serta membasmi masalah kemiskinan. 

 

madani

 

Jaminan dan kualiti kehidupan rakyat Malaysia perlu dipelihara kerana ia bukan sahaja meningkatkan kebahagiaan, keharmonian, perpaduan masyarakat malah menurunkan kadar jenayah serta kes masalah mental di Malaysia. 

 

Tuntasnya, inisiatif dan tindakan yang betul oleh Kerajaan Perpaduan perlu disokong tetapi jika ia salah perlu ditegur melalui saluran komunikasi yang betul kerana manifestasi rakyat progresif ialah berakal dan bertatasusila. – DagangNews.com

 

Norazlinda Mohammad adalah Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi & Media KPPIM, UiTM Cawangan Melaka