Forest City bakal dapat status Malaysia Digital Cybercentre daripada MDEC | DagangNews Skip to main content

Forest City bakal dapat status Malaysia Digital Cybercentre daripada MDEC

oleh HUDA HASSAN

JOHOR BAHRU 22 Mac  - Forest City bakal menarik pelabur dalam sektor teknologi tinggi (hi tech) apabila projek mega di atas pulau buatan itu bakal menerima status Malaysia Digital Cybercentre diiktiraf Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

Naib Presiden Serantau Forest City, Ir. Syarul Izam Sarifudin berkata, usaha menarik pemain sektor teknologi tinggi itu dilaksanakan dengan menyediakan “co-working space” di Menara Carnelian yang kini menempatkan pejabat korporat Forest City.

 

Tambahnya, sektor tersebut merupakan antara strategi perniagaan yang akan diberi tumpuan pihaknya pada tahun ini.

 

Menurutnya, lebih 200 unit “co-working space” akan diwujudkan dan dilengkapi pelbagai kemudahan yang membolehkan mereka mendapat status Malaysia Digital Cybercentre oleh MDEC.

 

forest city
Forest City

 

“Kita dah jalankan perbincangan dengan pelabur-pelabur dalam perniagaan berteknologi tinggi yang berminat untuk memindahkan operasi mereka ke Forest City terutama di Menara Carnelian.

 

“Sekarang kita diperingkat akhir untuk mendapatkan pengiktirafan status tersebut daripada MDEC sekali gus kita yakin ia akan dapat direalisasikan dalam masa terdekat,” katanya kepada DagangNews baru-baru ini.  

 

Forest City
Syarul Izam Sarifudin

 

Mengulas lanjut, Syarul Izam berkata, Forest City bukan hanya menumpukan kepada penjualan hartanah sahaja tetapi turut memberi tumpuan kepada lapan strategi perniagaan lain iaitu pendidikan, pelaburan, pelancongan, MICE, keusahawanan, perkhidmatan kewangan dan destinasi untuk mereka yang sudah bersara.

 

Tambahnya, lapan strategi perniagaan itu juga bakal menyokong kepada perniagaan teras mereka iaitu dalam sektor hartanah sekali gus akan memastikan Forest City itu berdaya tahan dalam menghadapi ekonomi kian mencabar.

 

Forest City
Menara Carnelian, Forest City 

 

Sementara itu, diminta mengulas mengenai perancangan Forest City pada tahun ini, beliau memberitahu, mereka masih mengikut pelan pembangunan di kawasan itu yang dirancang untuk tempoh 30 tahun (2015-2045).

 

“Roadmap kita akan terus perjuangkan dan kita masih ikut perancangan cuma ia mungkin pembangunan itu agak perlahan disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu selain dunia berdepan pandemik Covid19 sebelum ini.

 

“Bagaimanapun, dalam tempoh 7 tahun kita sudah pun menyiapkan 28,000 unit merangkumi keluasan tanah 770 ekar daripada keseluruhan 5,000 ekar, ia merupakan pembangunan fasa pertama Forest City,” katanya.

 

Tambahya, perancangan pembangunan yang lain di pulau buatan itu masih berjalan seperti biasa. - DagangNews.com