Jenama Iveco kukuhkan kehadiran dalam perolehan kenderaan ATM | DagangNews Skip to main content

Jenama Iveco kukuhkan kehadiran dalam perolehan kenderaan ATM

Trak penarik meriam Iveco Daily 4x4.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 25 Jan - Jenama automotif Iveco dilihat mengukuhkan kehadirannya dalam perolehan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila dua kenderaan buatan firma itu menjadi pilihan.

 

Dalam tempoh tiga tahun, dua perolehan dibuat setelah model kenderaan buatan Itali ini memenangi kontrak bagi pembekalan kepada Tentera Darat.

 

Ia juga menyaksikan pengukuhan jenama Eropah ini khususnya dalam pasaran di Asia Pasifik.

 

Sebanyak 36 buah trak Iveco Daily 4x4 telah dibekalkan kepada pasukan Rejimen Artileri Diraja (RAD) sebagai kenderaan penarik meriam yang baharu.
 

 

askar
Penyerahan kenderaan ini telah dilakukan pada 26 Oktober tahun lalu oleh syarikat Hamza Supply & Services Sdn. Bhd. kepada Tentera Darat.

 

Kenderaan tersebut kini dikendalikan oleh pasukan 4 RAD yang mengoperasikan meriam Oto Melara Pack Howitzer 105mm.

 

Difahamkan, kontrak bagi membekalkan kenderaan penarik meriam ini telah menarik penyertaan sebanyak 10 buah syarikat dengan menawarkan pakej tender antara RM12 juta hingga RM15 juta.

 

Iveco Daily 4x4 dengan enjin 3,000 liter dan berat sekitar lima tan merupakan kenderaan lasak yang banyak digunakan dalam pelbagai industri selain logistik ketenteraan.

 

Pemilikan trak Iveco Daily 4x4 ini merupakan sesuatu yang baharu kerana sebelum ini kenderaan Westar GK-M1 digunakan sebagai penarik meriam.

 

Bagaimana pun, lain-lain unit atau rejimen dalam RAD masih mengoperasikan kenderaan jenis Westar GK-M1 selain trak Vamtac buatan Sepanyol.

 

Pada Mac tahun lalu, syarikat DRB-Hicom Defence Techonologies Sdn Bhd (Deftech) pula telah menerima surat persetujuan untuk membekalkan 150 buah trak Iveco bersaiz tiga tan kepada Tentera Darat.


 

askar
Deftech menerima kontrak untuk membekalkan  trak Iveco GS cargo tiga tan.

 


Perkara tersebut diumumkan semasa pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di Kuala Lumpur.

 

Trak bagi kegunaan serbaguna (General Services - GS cargo) ini untuk membawa logistik, kargo dan juga pengangkutan anggota tentera semasa operasi.

 

Kontrak bernilai RM59.7 juta ini bakal menyaksikan perancangan pihak Deftech untuk membangunkan kemudahan baik pulih dan senggaraan (MRO) bagi kenderaan tersebut di Pekan, Pahang.

 

Dengan adanya kemudahan MRO tersebut, ia memudahkan lagi urusan perkhidmatan lepas jualan kepada pihak ATM selaku pengguna.

 

Ia juga sebagai komitmen jangka panjang Deftech sekiranya jumlah kenderaan yang dibekalkan kepada ATM bertambah pada masa hadapan.

 

Keseluruhan pihak Deftech menerima kontrak untuk membekalkan 218 buah trak Iveco GS cargo tiga tan termasuklah tender yang diperoleh sebelum ini.

 

Kenderaan-kenderaan ini dijangka akan dihantar dan diserahkan secara berperingkat-peringkat pada pertengahan tahun ini sehingga 2035.

 

Pemilihan kenderaan Iveco GS cargo tiga tan ini kemungkinan akan menggantikan ratusan kenderaan Deftech Handalan yang mula digunakan sejak 25 tahun lalu.


 

askar
Lebih 2,000 trak Deftech Handalan digunakan ATM sejak 25 tahun lalu.

 


Deftech Handalan mempunyai sejarah tersendiri apabila menjadi kenderaan pertama yang dikeluarkan khusus bagi kegunaan ATM bermula tahun 1996.

 

Ia juga signifikan pada objektif penubuhan Deftech oleh HICOM bagi membangunkan industri pertahanan tempatan sebagai usaha untuk berdikari yang menjadi misi kerajaan masa itu.

 

Kenderaan Deftech Handalan dibina berasaskan trak Isuzu FSS 32G dan sebanyak tiga model dibina iaitu Handalan I, Handalan II dan Handalan III.

 

Difahamkan sepanjang tempoh tersebut iaitu bermula 1996 hingga 2003 kira-kira 1,870 buah trak Handalan 1 telah dibekalkan oleh Deftech kepada ATM.

 

Ia kemudian diikuti model Handalan II dan Handalan III dengan kontrak terakhir adalah sebanyak 222 buah kenderaan pada 2016.

 

Sebanyak 116 buah trak Handalan I turut dibekalkan kepada tentera Brunei.

 

Jenama Iveco juga bukanlah asing dalam inventori ATM kerana sebelum ini sejumlah kenderaan telah dibeli meliputi pelbagai varian iaitu ambulan, kenderaan penunda kereta kebal dan trak kargo lima tan.

 

Selain kenderaan logistik, terbaru pihak Iveco juga turut bersaing untuk mendapatkan tender antarabangsa bagi perolehan kenderaan perisai beroda 6×6 menggantikan Sibmas dan Radpanzer Condor.

 

Ini merupakan perolehan besar yang bakal dilaksanakan oleh Mindef iaitu kira-kira 400 kenderaan perisai beroda 6×6 baharu untuk Tentera Darat.


 

askar
Kenderaan perisai VBTP-MR Guarani.

 


Firma Iveco Defense mempertaruhkan kenderaan perisai VBTP-MR Guarani. 

 

Kenderaan perisai seberat 18 tan ini dibangunkan bersama Iveco Defense dengan tentera Brazil dengan anggaran sebanyak 2,000 buah bakal dibekalkan kepada tentera negara latin itu.

 

Pertama kali dipamerkan pada DSA 2014 di Kuala Lumpur, VBTP-MR Guarani kini turut dibekalkan kepada tentera Lebanon, Ghana dan Filipina. - DagangNews.com