Kadar tempahan projek kukuh, Mercury Securities kekal saranan 'beli' terhadap Kerjaya Prospek | DagangNews Skip to main content

Kadar tempahan projek kukuh, Mercury Securities kekal saranan 'beli' terhadap Kerjaya Prospek

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Mercury Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kerjaya Prospek Group Berhad dengan harga sasaran (TP) RM1.46 sesaham.

 

Firma itu menyukai saham itu kerana kumpulan itu memiliki kadar tempahan projek yang kukuh selain rekod perkhidmatan cemerlang.

 

Katanya, kumpulan itu baru-baru ini berjaya mendapatkan kelulusan kemasukan tambahan 1,000 tenaga kerja asing yang dijangka tiba pada separuh kedua 2023.

 

"Dengan operasi disambung semula sepenuhnya, kami berpendapat bahawa akan ada kemajuan projek yang lebih lancar disebabkan tenaga kerjanya yang diberi vaksin sepenuhnya yang mengurangkan pemberhentian kerja pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak sebanyak 18.7% kepada RM115 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM96.9 juta pada FY21.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 15.2% kepada RM1.1 bilion berbanding RM977 juta pada tahun sebelumnya.

 

Firma itu berkata, keputusan kumpulan itu melebihi jangkaan iaitu 112.1% dan 110.5% daripada ramalan hasil dan keuntungan setahun penuh untuk FY22 disebabkan kemajuan yang lebih baik dalam aktiviti kerja pembinaan.

 

Katanya, kumpulan itu mempunyai tunai bersih sebanyak RM245 juta pada Februari2023 (meningkat daripada RM215 juta), membolehkan syarikat berpotensi melaksanakan lebih banyak projek pada masa hadapan.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk kegagalan mendapatkan projek baharu.

 

"Selain itu kumpulan itu juga berdepan kemungkinan projek dibatalkan atau ditunda, peningkatan kos pembinaan sesebuah projek dan pandemik COVID-19 yang berpanjangan," katanya. - DagangNews.com