KUALA LUMPUR 12 Okt - Datuk Aznil Nawawi mulai semalam tampil dalam sesi khas temu bual bersama beberapa usahawan jutawan yang berkongsikan kisah jatuh bangun, suka duka mereka dalam dunia perniagaan.
Pengacara nombor satu Asia itu yang mesra dikenali sebagai Pak Nil akan menjadi tunjang dalam sesi temu bual santai itu hasil kerjasama bersama Richworks International Sdn Bhd (RichWorks).
Menurutnya, beliau rasa teruja bagi mengenali dengan lebih rapat usahawan jutawan yang dibimbing RichWorks agar menjadi inspirasi buat orang lain.
"Saya melihat ramai orang terutama usahawan di luar sana tidak kenal dan tak tahu usahawan jutawan ini yang juga suatu masa dulu seperti mereka.
"Ada yang hanya bermula dari rumah, sudah berpengalaman bisnes berpuluh tahun tapi masih di tahap sama, ada yang sudah kerja pada kedudukan yang baik namun berhenti kerja, malah ada hanya bermula gunakan media sosial namun mampu bina bisnes berjaya dengan bimbingan yang betul," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, baru-baru ini.
Program sesi temu bual ‘Kau Ingat Senang Ke Nak Senang?’ boleh ditonton secara live di laman Facebook Azizan Osman Official dan Aznil Hj Nawawi pada pukul 9 malam.
Terdahulu, Pak Nil bekerjasama dengan RichWorks dalam mengendalikan program Pesona Leadership yang dihadiri hampir 1,000 usahawan untuk memantapkan soal komunikasi kepimpinan agar dapat memacu sesebuah organisasi perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Tambah Pak Nil, beliau berharap agar usaha itu dapat memberikan kesedaran kepada bangsa usahawan di luar sana agar tidak mengalah dan terus berusaha mencapai matlamat masing-masing.
"InsyaAllah, pasti ada jalannya walaupun berdepan cabaran kerana usahawan jutawan ini juga mampu membina bisnes berjaya bila mereka konsisten berusaha, ditambah sentiasa pertingkatkan diri dan bisnes dengan ilmu daripada mentor terbukti berjaya," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd menghargai peluang kerjasama diberikan Pak Nil dalam sesi bual bicara sebanyak sembilan siri bersama usahawan-usahawan berkenaan.
"Kami berharap sesi bual bicara santai 'Kau ingat senang ke nak senang' dapat memberikan inspirasi kepada usahawan lain di luar sana.
"Ketika ini, kami faham ramai berdepan cabaran untuk memastikan bisnes mereka dapat bertahan dan menjana pendapatan ekoran pelbagai faktor termasuk ekonomi global," katanya.
Jelas Radz, pihaknya percaya Pak Nil dapat mengendalikan sesi itu dengan baik dan seterusnya menarik lebih ramai usahawan untuk belajar sesuatu daripada perkongsian berkenaan.
"RichWorks juga ingin menjemput bangsa usahawan di luar sana untuk persiapkan diri dengan cabaran lebih besar pada 2023 dengan hadir ke 10X Bina Bisnes Berjaya pada hujung Oktober ini," ujarnya. - DagangNews.com