Matrade: Eksport Malaysia capai sasaran 3 tahun lebih awal di bawah RMKe-12 | DagangNews Skip to main content

Matrade: Eksport Malaysia capai sasaran 3 tahun lebih awal di bawah RMKe-12

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Jan - Malaysia mengekalkan prestasi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan yang cemerlan pada tahun lalu di sebalik persekitaran global yang mencabar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

 

Menurutnya, prestasi lebih baik itu menunjukkan komuniti perniagaan di negara ini tetap berdaya tahan berikutan permintaan global yang kukuh dan harga komoditi tinggi.

 

Dagangan Malaysia juga mencecah RM2.8 trilion pada tahun lalu, melepasi paras RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut.

 

Prestasi eksport meningkat kepada RM1.6 trilion iaitu 25%, melepasi RM1.5 trilion untuk kali pertama.

 

“Saya gembira untuk memaklumkan bahawa eksport kita juga melebihi unjuran dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi 2025, tiga tahun lebih awal daripada sasaran.

 

"Sementara itu, import mencecah paras RM1 trilion buat kali pertama, menghampiri RM1.3 trilion pada 2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mustafa menambah, sebagai sebuah negara perdagangan yang terkemuka di dunia, Malaysia mengeksport rangkaian produk bernilai tinggi dan kompetitif ke lebih 200 pasaran antarabangsa.

 

Beliau berkata, ini memperakui kedudukan Malaysia sebagai rakan dagangan yang boleh dipercayai dan memberi akses ke pasaran yang baharu dan timbul melalui pelbagai perjanjian perdagangan di peringkat serantau dan dua hala.

 

Pada tahun lalu, 10 destinasi eksport utama Malaysia menyumbang 87.7% bahagian daripada jumlah eksport.

 

“Memanfaatkan prestasi perdagangan yang cemerlang, Matrade sebagai agensi penggalak perdagangan negara akan berusaha lebih jauh untuk memupuk dan menambah lebih ramai usahawan Malaysia untuk menceburi bidang eksport.

 

"Malah, Matrade telah menjadi tumpuan utama dalam memudahkan pengeksport, kementerian, agensi, dewan dan persatuan di dalam negara dengan menghubungkan mereka dengan pembeli asing," katanya. - DagangNews.com