KUALA LUMPUR 22 Nov - Keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan Malaysia berdepan Parlimen tergantung sejak Sabtu lalu, mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana pelaksanaan Bajet 2023 dan juga manifesto yang dilaung-laungkan gabungan parti politik dalam kempen pilihan raya masing-masing.
PRU15 menjadi saingan paling sengit pernah dihadapi negara, berakhir dengan situasi tergantung apabila tiada parti mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.
Daripada 220 kerusi dipertandingkan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi.
Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan sejak merdeka sebelum dikalahkan pada PRU14 pada 2018 pula hanya menguasai 30 kerusi.
Menurut Maybank Investment Bank (IB), Parlimen mesti bersidang semula 120 hari selepas dibubarkan 10 Oktober lalu, iaitu selewat-lewatnya pada 7 Februari 2023.
Jelasnya, jika Bajet 2023 tidak dibentangkan semula, dibahaskan dan diluluskan sebelum akhir tahun ini, sidang khas Parlimen perlu dipanggil untuk membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan bagi memperuntukkan perbelanjaan Kerajaan bagi keperluan penting seperti gaji kakitangan awam, pencen dan perkhidmatan hutang pada awal 2023.
"Di bawah Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan, Parlimen boleh membenarkan perbelanjaan untuk sebahagian daripada belanjawan di bawah keadaan 'keterdesakan luar biasa' sehingga Rang Undang-undang Perbekalan diluluskan secara rasmi.
"Namun, persoalannya adakah Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula ini masih sama atau belanjawan yang berbeza?," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebahagian intipati Bajet 2023 yang dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu, menjadi manifesto BN.
Intipati bajet terbesar dengan peruntukan RM372.3 bilion itu juga mencakupi semua pihak dan kerajaan mempunyai peruntukan mencukupi untuk melaksanakannya.
Mengenai dasar makroekonomi, Maybank IB berkata, dasar fiskal jangka sederhana kerajaan seterusnya akan menjadi tumpuan memandangkan manifesto 'populis' yang dibentangkan oleh semua gabungan parti politik.
"Tetapi, hakikatnya. tiada satu pun gabungan parti politik menjelaskan dalam manifesto mereka bagaimana untuk membiayai langkah-langkah yang dicadangkan sama ada melalui individu atau gabungan," jelasnya.
Baca : Kejayaan besar Pas pada PRU15 dorong penyusutan saham berkaitan alkohol, perjudian di Bursa Malaysia
Firma itu membangkitkan persoalan, dari segi percukaian contohnya cadangan untuk menaikkan cukai sedia ada (adakah meluaskan skop Akta Levi Durian Runtuh sedia ada di luar sektor perladangan dengan memasukkan sektor yang mencatat untung tinggi seperti perbankan) atau memperkenalkan cukai baharu (seperti cukai karbon, cukai keuntungan modal) atau memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
"Perlu diingatkan GST pernah dihapuskan kerajaan PH ketika mereka membentuk kerajaan selepas memenangi PRU14.
"Bagi peruntukan seperti mengurangkan perbelanjaan di beberapa kawasan, sebagai tukaran kepada perbelanjaan yang lebih tinggi (walaupun pilihan ini kelihatan 'mencabar'), apatah lagi, tiada mana-mana gabungan parti politik yang menyentuh mengenai rasionalisasi subsidi," katanya.
Dari segi hutang pula, tambahnya, pinjaman lebih tinggi kerajaan bagi hutang dalam negeri adalah tidak jauh berbeza dengan had statutori sebanyak 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Setakat 18 November 2022, ia mencecah 60.3% daripada KDNK.
Sekadar mengimbas kembali, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan menyasarkan fiskal tempoh sederhana dapat mengurangkan defisit bajet kepada 3.5% daripada KDNK menjelang 2025.
"Dijangkakan pada tahun ini defisit berada sekitar 5.8% daripada KDNK dan 5.5% pada 2023," katanya.
Menurutnya, memandangkan gabungan PH dan PN berebut-rebut untuk mendapatkan kerusi tambahan yang diperlukan untuk memuaskan hati Yang di-Pertuan Agong bahawa mereka telah mendapat sokongan majoriti di Parlimen, tumpuan segera untuk pasaran beralih kepada kemenangan Parti Islam Se-Malaysia (Pas), kini parti tunggal terbesar di Parlimen, dan pembuatan dasar akan datang.
Ia melihat 'gelombang hijau' Pas boleh dikaitkan dengan gabungan penolakan terhadap BN yang berbalah dan dicemari rasuah, serta pengundi Melayu-Islam yang semakin konservatif dari segi agama yang matlamatnya untuk memasukkan Islam ke dalam semua aspek masyarakat, termasuk politik, undang-undang dan pentadbiran, bergema secara positif.
"Bagaimanapun, perniagaan dan agama, secara umumnya tidak bercampur dengan baik. Bagi pasaran, ia akan berhati-hati apabila pelabur menilai potensi kesan agenda Islamisasi Pas terhadap hala tuju dasar kerajaan baharu," jelasnya.
Dari segi sektor, berdasarkan analisis yang dijalankannya dalam tiga pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, 64% daripada masa itu, sektor yang mencatat prestasi lebih baik terus mengatasi prestasi selepas PRU.
"Oleh itu, kami terus memilih sektor penjagaan kesihatan dan ruji pengguna sebagai korelasi yang rendah kepada ekonomi.
"Bagi sektor yang mempunyai prestasi yang kurang baik sebelum PRU15, kami melihat peluang untuk melalui sektor IT/Teknologi," katanya.
Secara keseluruhan, Maybank IB mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini pada 8% manakala 4% pada 2023 di sebalik ketidaktentuan politik semasa. - DagangNews.com