Maybank IB semak turun penarafan Velesto kepada 'pegang', TP lebih rendah pada 22 sen | DagangNews Skip to main content

Maybank IB semak turun penarafan Velesto kepada 'pegang', TP lebih rendah pada 22 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Feb - Maybank Investment Bank (IB) menyemak turun penarafan Velesto Energy Bhd. kepada 'pegang' daripada 'beli' dengan harga sasaran lebih rendah pada 22 sen berbanding 26 sen sebelum ini.

 

Bagaimanapun, ia menaikkan unjuran hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan FY24 masing-masing sebanyak 120% dan 95%, berikutan propek penggunaan pelantar dan kadar sewaan harian (DCR) yang lebih tinggi.

 

Semakan penarafan itu dibuat memandangkan kebanyakan impak positif (pemulihan hasil dan DCR lebih tinggi) telah diambil kira dalam harga saham dengan pemangkin yang minimum.

 

Menurut firma itu, permintaan global bagi pelantar jack-up untuk tahun ini semakin ketat (berdasarkan peningkatan capex luar pesisir, ketiadaan binaan baharu), memihak kepada pengendali penggerudian dan trend itu dijangka bertahan sekurang-kurangnya 24 bulan akan datang.

 

Katanya, kadar penggunaan pula dijangka melebihi paras 80% dengan DCR akan meningkat secara berterusan.

 

"Oleh itu, kami meningkatkan unjuran DCR bagi FY23 hingga FY24 kepada AS$90,000 hingga  AS$100,000 (peningkatan 13 hingga 18%).

 

"Ini adalah penilaian yang lebih realistik (meningkat AS$10,000-AS$15,000 dalam DCR) berbanding keadaan pasaran dan semakan unjuran kami sebelum ini (meningkat AS$5,000-AS$10,000) pada September 2022," katanya dalam nota kajian.

 

Berdasarkan analisis senstiviti yang dijalankannya, Maybank IB mendapati setiap peningkatan AS$1,000 DCR akan meningkatkan keuntungan bersih FY23 Velesto sebanyak RM6 juta. 

 

"Dalam hal ini, kami turut menaikkan anggaran kadar penggunaan bagi FY23 hingga FY24 kepada 80 hingga 85% (meningkat 5.4 hingga 6 mata peratus bagi tahun ke tahun), untuk mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat," jelasnya.

 

Setakat 10.31 pagi ini, harga saham Velesto kekal tidak berubah pada 24.5 sen dengan 45.55 juta saham diniagakan. - DagangNews.com