MYNIC latih 100 usahawan agro kembangkan perniagaan menerusi premis digital | DagangNews Skip to main content

MYNIC latih 100 usahawan agro kembangkan perniagaan menerusi premis digital

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Feb - MYNIC Bhd dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta agensi-agensi dibawahnya sehingga kini telah melatih hampir 100 usahawan agro bagi meningkatkan pemahaman serta penyertaan mereka ke saluran digital menerusi Program Realisasi Impian Digital (PRIME).

 

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata, sektor agro merupakan salah satu tunjang kepada negara dan ianya turut menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Katanya, objektif PRIME adalah untuk memberi pendedahan terhadap penambahbaikan teknologi digital serta impak kepada penjenamaan digital produk ahli-ahli mereka. 

 

"Kami juga turut berkongsi bagaimana pemasaran melalui premis digital dapat meningkatkan hasil jualan dan keyakinan pelanggan kepada produk agro mereka.

 

"Produk hasil usahawan kami kini semakin dikenali, bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara. 

 

"Antara contoh adalah sambal Cik Midah yang berjaya mendapat pelanggan dari United Kingdom, Singapura dan lain-lain lagi. Inilah kelebihan premis digital, perniagaan tanpa batasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

mynic

 

 

Sementara itu, Pengasas Sambal Cik Midah, Zanariah Abdullah berkata, setelah beberapa bulan mengadakan jualan melalui media sosial, dia mahu membangunkan premis digital atau laman web Sambal Cik Midah.

 

Katanya, membangunkan laman web atau premis digital produk sendiri merupakan impiannya kerana ia adalah salah satu platform untuk produknya menembusi pasaran tanpa sempadan.

 

"Selepas hampir 2 tahun setahun mempunyai premis digital sendiri iaitu goldburoqglobal.my, hasil jualan sambal Cik Midah kini mencecah 60% jika dibandingkan dengan dahulu," katanya.

 

Dalam pada itu, Muhammad Khalifah Hussin dari Pasir Puteh, Kelantan turut berkongsi bagaimana premis digital membantu usahawan agro sepertinya.

 

Katanya, dengan mengkomersialkan jualan ikan bekok melalui premis digital oceanfreshglobal.my juga membantu dalam membina keyakinan pembeli.

 

"Sekarang banyak kita dengar mengenai penipuan dalam talian, tetapi dengan adanya laman web sendiri, ia menambah keyakinan pembeli. Alhamdulillah, saya kini menerima tempahan lebih 20 pek dalam masa seminggu," katanya. - DagangNews.com