Pertama Digital lantik CEO dan CFO baharu berkuat kuasa hari ini | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital lantik CEO dan CFO baharu berkuat kuasa hari ini

Saify Akhtar

KUALA LUMPUR 1 Dis - Pertama Digital Bhd. melantik Saify Akhtar sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu manakala Sivabalan Poobalasingam sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) berkuat kuasa hari ini.

 

Dengan pelantikan itu, Saify yang sebelum ini merupakan Pengarah Strategi Pertama Digital akan bertanggungjawab untuk menerajui dan memacu kumpulan dengan rancangan perniagaan yang berani dan inovatif bagi memastikan masa depan yang mapan dan menguntungkan. 

 

Sementara itu, Sivabalan pula akan ditugaskan untuk menstruktur dan menumpukan dalam memantapkan kedudukan kewangan Pertama Digital melalui pengurusan kewangan yang berhemat seperti yang diperlukan oleh mana-mana syarikat senaraian awam.

 

Pengerusi Pertama Digital, Tun Zaki Azmi berkata, pemahaman dan komitmen Saify adalah penting dalam memastikan kejayaan rancangan masa depan Pertama Digital. 

 

"Digabungkan dengan kekuatan kakitangan kami dan tawaran perkhidmatan, saya percaya beliau akan dapat memperkasakan syarikat ke tahap yang lebih tinggi. 

 

"Beliau mempunyai kemahiran kepimpinan yang diperlukan untuk membimbing Pertama Digital untuk mencapai matlamat dan aspirasinya," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sivalan sebelum ini pernah memegang jawatan penting termasuk Pengarah Kewangan di Kumpulan Edotco (Kumpulan Axiata) serta anak syarikat Khazanah Nasional Bhd., Rhizophora Ventures Sdn. Bhd. - DagangNews.com