KUALA LUMPUR 1 Mac - Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dibuka untuk pendaftaran baharu dan kemas kini mulai 1 Mac 2023 sehingga 31 Mac 2023.
Menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), ini adalah untuk memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing selain membolehkan penerima sedia ada untuk mengemas kini sebarang perubahan maklumat.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, STR pada tahun ini akan memanfaatkan 8.7 juta penerima dengan peruntukan hampir RM8 bilion.
“Pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas akan terus diperkasakan di bawah Kerajaan Perpaduan,” tambah beliau.
Tambahnya lagi, bagi mengurangkan golongan yang tercicir atau exclusion error, data penerima STR Fasa 1 akan dibawa secara automatik ke dalam pangkalan data kerajaan di samping data daripada beberapa agensi kerajaan untuk disemak silang kelayakan STR mengikut syarat yang ditetapkan.
Menurut kenyataannya pada hari ini, MOF juga akan memperhebatkan program turun padang bersama pemimpin komuniti dan pelusuk desa bagi memastikan STR dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Pemohon STR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com